GEORGE TOWN : Sebanyak RM250,000 telah diluluskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) sebagai peruntukan khas bagi membolehkan pemasangan jambatan panel keluli bermodular atau ‘Bailey Bridge’ dipasang di Jambatan Sungai Derhaka, Permatang Pauh dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja pemasangan jambatan sementara itu telah bermula sejak 8 Oktober lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya Rabu depan.
“Projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan kerjasama THB Maintenance Sdn. Bhd. serta melibatkan pemasangan jambatan keluli dua lorong sepanjang 12 meter dengan lebar kira-kira 11.2 meter,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zairil memberitahu, pemasangan ‘Bailey Bridge’ itu dilakukan selepas mendapati, struktur asal jambatan tidak selamat digunakan kerana mengalami kerosakan yang serius sehingga menjejaskan integriti binaannya.
Jelas Zairil, JKR negeri telah turun padang untuk menyiasat kejadian tersebut pada 24 September lalu dan mendapati, berlaku kerosakan ketara termasuk ‘abutmen’ atau penyangga mendap dan runtuh serta retakan pada bahagian bawah (soffit) ‘deck slab’ jambatan berkenaan.
“Hasil lawatan susulan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) dan JKR Pulau Pinang pada 3 Oktober lalu seterusnya mengesahkan bahawa jambatan tersebut tidak lagi selamat digunakan oleh orang awam,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang tempoh pembaikan, laluan FT3111 di Jambatan Sungai Derhaka ditutup sepenuhnya dan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Ampang Jajar/Permatang Pauh-Jalan Carefour-Jalan Perdana-Jalan Kampung Masjid Timah-Jalan Bukit Minyak.
“Selain itu, para pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi papan tanda keselamatan yang disediakan di kawasan berkenaan,” katanya.-UTUSAN