GEORGE TOWN : Pasangan yang ditahan kerana melakukan perbuatan lucah di sebuah tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Ayer Itam di sini Ahad lalu direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret George Town untuk mendapatkan permohonan tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pasangan terbabit ditahan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 12.05 tengah hari semalam susulan penularan satu rakaman video yang memaparkan aksi tidak senonoh mereka di media sosial.
Katanya, suspek wanita yang berusia 37 tahun ditahan di sebuah flat berhampiran Jalan Padang Tembak di sini pada pukul 8.35 malam tadi manakala pasangannya yang berusia 58 tahun pula ditahan kira-kira tiga jam selepas itu di Jalan Paya Terubong, Sungai Ara, Bayan Lepas.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam, Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran kandungan jelik.-UTUSAN










