SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima peruntukan sebanyak RM238 juta bagi tempoh 2021 hingga 2025 daripada kerajaan untuk menyelenggara dan membaik pulih kolej-kolej kediaman serta menaiktaraf kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di semua 34 kampusnya di seluruh negara.
Sebanyak RM170 juta diperuntukkan khusus bagi baik pulih kolej kediaman yang melibatkan bangunan-bangunan yang usang menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, peruntukan dan kerja penyelenggaraan kolej kediaman tersebut dilakukan secara berperingkat serta berterusan di kesemua kampus termasuk di sini.
Bagaimanapun, beliau mengakui wujud cabaran menyediakan kemudahan penginapan kepada kesemua 170,000 mahasiswa di seluruh negara, namun mendakwa pengurusannya komited mengusahakan yang terbaik.
“Bermula 2024 dan 2025 kerajaan menyediakan peruntukan bagi kita menambah baik kemudahan kepada mahasiswa termasuk membaik pulih kolej kediaman di semua kampus dan itu menjadi cabaran tahun ini.
“Ada (kolej kediaman) kampus yang terpaksa ditutup dan itu menimbulkan tekanan pada ruang yang boleh disediakan untuk mahasiswa, tetapi universiti khususnya Hal Ehwal Pelajar cuba sebaik mungkin terutama mahasiswa baharu yang sememangnya disediakan tempat.
“Cuma siswa penerapan daripada diploma ke ijazah (UiTM) yang mendaftar kita cuba melayani sebarang bentuk rayuan supaya mereka juga dapat ditempatkan. Kita ada sekitar 60 peratus yang mendaftar (di kolej kediaman) berbaki 40 peratus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat UiTM, semalam.
Jelas Shahrin, nisbah siswa yang tinggal di kolej kediaman berbanding di luar (non-residen) adalah bergantung kepada kampus cawangan dan pembangunan di sekitar kawasannya sama ada berupaya atau tidak dalam memberikan penempatan kepada mahasiswa.
“Kita ada kampus yang 100 peratus (tinggal di kolej kediaman), 50 peratus dan juga 40 peratus. Contohnya di Raub dan Jengka, Pahang (100 peratus). Tetapi, di Shah Alam, ada banyak kemudahan (pembangunan), maka (kemudahan kolej kediaman) memang terhad sekitar 40 peratus.
“Tetapi, kita sedang berusaha kerana mahu mencapai sasaran (jumlah mahasiswa tinggal di kolej kediaman dan non-residen) sekurang-kurangnya 50:50,” ujarnya.
Baru-baru ini, isu penempatan mahasiswa di kolej kediaman kembali tular dalam media sosial terutama dalam kalangan kakitangan universiti terbesar itu apabila cadangan menjadikan bangunan Intekma Resort sebagai kolej kediaman di Seksyen 7, di sini belum dilaksanakan.
Turut dibincangkan, status penyelenggaraan Kolej Cendana di Seksyen 6 yang didakwa masih dibiarkan kosong.
Malah, Utusan Malaysia pada Februari 2023 melaporkan UiTM akan menjadikan Intekma Resort & Convention Centre itu, sebagai kolej kediaman yang mampu memuatkan antara 500 hingga 1,000 orang mahasiswa.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) UiTM, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, selain cadangan tersebut, universiti itu turut mengadakan kerjasama dengan sebuah ejen syarikat hartanah yang menguruskan sebuah perumahan, Palm Garden di Klang untuk dijadikan penempatan mahasiswa yang boleh memuatkan 411 orang.
Shahrin berkata, ketika ini penyelenggaraan dan kerja membaik pulih kolej kediaman termasuk Kolej Cendana sedang dilakukan secara berperingkat.
“Kita tidak boleh buat semua sebab ia akan menyebabkan penutupan kolej (lain). Jadi kita buat secara berperingkat dan ia sudah pun dimasukkan dalam Rolling Plan 5 (RP5) RMK12 dan kita sudah pun masuk RP1 RMK13 dan seterusnya, kita ada jadual.” jelasnya. – UTUSAN










