PUTRAJAYA: Sejumlah RM314 juta kutipan hasil kerajaan belum dipindahkan oleh My E.G. Sdn Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan (MOT) bermula 19 Mei sehingga 30 September lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan, susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil keputusan untuk menggantung perkhidmatan saluran MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ berkuat kuasa hari ini berikutan kegagalan syarikat-syarikat tersebut memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Ini yang saya nak memperbetulkan sedikit laporan-laporan media yang mengatakan bahawa sudah tiga tahun mengapa JPJ dan MOT tak mengambil tindakan, tak betul, tiga tahun itu tidak tepat.
“Tunggakan ini bermula bulan Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu. Sebelum bulan Mei, memang dulu-dulu pun memang ada tunggakan, kadang-kadang ada tunggakan, tapi selepas kita mengeluarkan surat notis peringatan, mereka bayar tunggakan mereka dan sebagainya.
“Tetapi tunggakan yang tidak berbayar ini sebanyak RM314 juta adalah sejak bulan Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu sahaja, bukannya tiga tahun,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Kelmarin, JPJ menggantung perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen pemungut setelah mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan obligasi (tanggungjawab) yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.
BERITA MENYUSUL











