Ringgit dijangka mengukuh RM4.20 berbanding dolar AS - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka mengukuh RM4.20 berbanding dolar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus menguji paras pertukaran RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat didorong sentimen pasaran tempatan yang bertambah baik dan faktor luar negara.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ringgit telah mencapai RM4.185 beberapa minggu lalu, berikutan kelemahan dolar AS yang kini kembali mengukuh kepada RM4.22.

“Faktor luar negara turut memberi kesan kepada prestasi ringgit, antaranya ialah kemungkinan Rizab Persekutuan (fed) AS akan melakukan pemotongan kadar faedah sebanyak dua kali lagi dalam tahun ini dan dijangka melemahkan nilai dolar AS.

“Selain itu, kadar inflasi di AS dijangka meningkat susulan tindakan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang berterusan mengheret perang dagang dengan China, menerusi pelbagai tarif yang menimbulkan kesulitan ekonomi kepada AS sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Di peringkat domestik, sentimen positif terhadap ringgit turut diperkuatkan oleh kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, yang menjangkakan ringgit akan mengukuh dalam jangka masa panjang, dengan sasaran mencapai tahap bawah RM4 berbanding 1 dolar AS dalam tempoh setahun.

“Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan terus memastikan nilai ringgit tidak mengukuh secara terlalu pantas kerana pengukuhan yang drastik boleh memberi kesan negatif kepada sektor eksport negara.

“Selain itu, faktor pemulangan keuntungan dan pembayaran dividen ke negara asal, dari pelaburan luar negara dijangka turut menjadi perhatian, terutamanya menjelang akhir 2025.

“Apa yang penting, pengukuhan ringgit perlu berlaku secara stabil dengan julat pergerakan yang terkawal,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, pengukuhan mata wang ringgit juga diharap dapat membantu mengawal kadar inflasi terutamanya bagi barangan makanan yang diimport.

“Para pengimport diharapkan dapat berkongsi keuntungan dari kekuatan ringgit, khususnya dalam aspek tukaran asing dan rantaian nilai bekalan, supaya manfaat ini dapat dirasai oleh rakyat.

“Tambahan pula, harga minyak mentah dunia yang rendah serta pengukuhan ringgit boleh memberi kesan positif ke atas harga petrol dan diesel di pam dalam tempoh setahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ringgit dijangka stabil pada paras antara RM4.20 hingga RM4.25 berbanding dolar AS.

“Secara teori, ringgit berpotensi mengukuh hasil kenyataan terkini oleh Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour yang menunjukkan keyakinan terhadap kestabilan ekonomi negara.

“Namun begitu, jika dilihat dari segi situasi ekonomi domestik, prospek pengukuhan ringgit masih belum begitu kukuh,” katanya.

Menurut beliau, ekonomi AS juga menunjukkan peningkatan yang konsisten, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap dolar AS.

Katanya, ini menjadikan peluang Malaysia untuk meningkatkan permintaan ringgit berbanding dolar agak terbatas dalam situasi semasa.

“Dalam beberapa bulan akan datang, tiada petunjuk ekonomi signifikan yang mampu mendorong pengukuhan ringgit melebihi dolar AS.

“Bagaimanapun, faktor luar seperti polisi tarif yang dilaksanakan oleh pentadbiran Trump turut menjadi penentu utama.

“Sekiranya polisi tersebut tidak menyebelahi AS, terdapat peluang nilai ringgit mampu berada di bawah paras RM4.0 berbanding dolar AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×