KUALA NERUS: Satu pekerjaan kecil yang sarat dengan nilai kesabaran, pengalaman dan warisan nenek moyang, begitulah rutin mencari ikan bilis yang masih kekal menjadi sumber rezeki buat sebahagian penduduk di Kampung Seberang Takir di sini.
Di sebalik saiznya yang kecil, mencari ikan bilis bukanlah kerja mudah seperti disangka orang luar kerana hanya mereka yang pernah turun ke laut tahu betapa peritnya menanti rezeki dari laut itu.
Ahmad Deraman, 62, dan Muda@Sudi Mohammad, 76, antara dua sahabat yang masih setia memburu bilis di perairan Kuala Terengganu, pekerjaan yang telah mereka lakukan sejak lebih dua dekad lalu.
Ahmad yang berpengalaman lebih 20 tahun mengikut bot nelayan berkata, musim bilis tidak menentu dan rezekinya sukar dijangka kerana bergantung kepada keadaan cuaca dan arus laut.
“Bukan setiap hari ada bilis. Kadangkala keluar awal pagi, balik ke jeti hanya dengan tangan kosong. Pernah juga sehari suntuk menunggu bilis timbul di permukaan air tapi tak nampak langsung,” katanya ketika ditemui.
Ujarnya, kerja mencari bilis bukan hanya sekadar menebar pukat tetapi memerlukan kecekapan, pengalaman serta ketelitian dalam membaca tanda-tanda kewujudan kawanan bilis di laut.
“Kalau tersilap masa, bilis cepat lari. Kadangkala nampak banyak di permukaan tapi bila pukat ditebar, seekor pun tidak lekat. Itulah lumrah nelayan bilis,” ujarnya.
Sementara itu, Muda yang berasal dari Kampung Baru Seberang Takir berkata, dia hanya mula mengikuti bot bilis selepas bersara daripada kerjaya sebagai pengawal keselamatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), kira-kira 20 tahun lalu.
“Dulu kerja ikut masa pejabat tetapi bila bersara saya tak mahu duduk diam di rumah. Saya ikut kawan turun ke laut. Mula-mula memang kekok, akhirnya jadi seronok dan terbiasa,” katanya.
Menurutnya, biarpun usianya sudah lanjut, semangat untuk turun ke laut tidak pernah pudar kerana baginya laut bukan sekadar sumber rezeki tetapi tempat dia mengubat rindu kepada suasana kampung nelayan yang semakin hilang.
Muda berkata, aktiviti menangkap bilis kini bukan sekadar sumber pendapatan tetapi menjadi rutin harian warga emas di kampung itu sebagai cara mengisi masa selepas bersara.
“Ramai kawan sebaya saya pun buat benda sama. Bukan kejar sangat duit tapi sebab sudah sebati dengan laut. Bila tak turun sehari, rasa lain macam,” ujarnya. – UTUSAN










