Pengkritik bola sepak patah tulang mata dipukul dua lelaki

Pengkritik bola sepak patah tulang mata dipukul dua lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengkritik bola sepak tempatan cedera parah selepas dipukul bertubi-tubi oleh dua lelaki tidak dikenali ketika mengisi angin tayar kenderaannya di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.56 malam itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an didatangi dua suspek menaiki motosikal Yamaha LC sebelum diserang tanpa sebarang amaran. Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri sejurus selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, mangsa dipukul berkali-kali malah tindakan suspek turut dirakam menggunakan telefon bimbit sebelum mereka meninggalkan lokasi.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami patah tulang pada bahagian mata selain beberapa kecederaan lain dan menerima rawatan di hospital.

Menurut beliau, identiti kedua-dua suspek dan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan masih belum dikenal pasti, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Shamsudin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan bahan berkaitan kejadian yang boleh menjejaskan siasatan.

Terdahulu, rakaman kamera papan pemuka memaparkan kejadian itu tular di media sosial. Mangsa dipercayai pencipta kandungan bola sepak dikenali sebagai YTSK (Yang Tadak Sapa Kenai) yang sering menghasilkan ulasan mengenai bola sepak tempatan, termasuk jersi, kasut dan isu semasa sukan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN