KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dan Terengganu mahu hak kerajaan negeri dalam penerokaan sumber unsur nadir bumi (REE) dihormati oleh semua pihak yang akan terlibat dalam industri itu.
Malah Kelantan menegaskan tidak akan membenarkan REE menjadi seperti petroleum di mana hasil bumi yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit itu dikuasai pihak luar dan tidak menguntungkan rakyat.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadhli Hassan berkata, rakyat negeri ini masih menanggung luka akibat kehilangan hasil royalti petroleum yang disifatkan tidak adil untuk Kelantan.
Katanya, pihaknya memandang serius perjanjian dagang yang ditandatangani baru-baru ini antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat semasa lawatan Presiden Donald Trump ke Kuala Lumpur.
“Kandungan perjanjian itu menimbulkan persoalan dan implikasi besar kepada negeri sumber REE seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah serta negeri-negeri lain.
“Kelantan memiliki deposit Unsur Nadir Bumi Tidak Radioaktif (NREE) kedua terbesar di Malaysia selepas Terengganu. Nilainya mencecah ratusan bilion ringgit. Sumber ini terletak di daratan dan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Berbeza dengan petroleum yang berada di dasar laut, ‘peraturan 3 batu nautika’ tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat dan kerajaan Kelantan. Dalam kes petroleum, dengan menggunakan peraturan tersebut Kerajaan Negeri Kelantan telah dinafikan hak terhadap royaltinya walaupun jelas disebut dalam perjanjian,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli memberitahu, REE berada di daratan dan adalah menjadi hak mutlak negeri dan rakyat Kelantan.
Katanya, hasil bumi yang wajib dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat, bukan ditentukan oleh pihak atau kuasa luar.
“Banyak pihak yang sangat berminat dengan REE. Setakat ini ramai pelabur luar datang ke Kelantan untuk melombong dan membeli REE bagi dibawa balik ke negara mereka untuk diproses. Kerajaan negeri menolak pendekatan ini.
“Dasar kita jelas. REE mesti diproses kalau tidak sepenuhnya tetapi semaksimumnya di Kelantan. Bukan digali dan dieksport mentah. Kita realistik dalam hal ini. Apabila diproses di sini, nilai tambahnya meningkat berganda,” ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, sebelum perjanjian ini ditandatangani kerajaan sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan negeri-negeri pengeluar malangnya tidak dirunding.
“Bagaimana perjanjian bernilai berbilion ringgit yang menyentuh hasil bumi negeri boleh dibuat tanpa pandangan kerajaan negeri. Ini menyimpang dari semangat federalisme dan menafikan hak negeri yang dijamin dalam Perlembagaan.
“Perjanjian Malaysia dengan Amerika Syarikat menetapkan tiada sekatan eksport atau kuota terhadap REE ke Amerika. Ini menimbulkan persoalan besar,” katanya.
Sementara itu di KUALA TERENGGANU: Pembangunan industri REE sebagai teras strategik ekonomi Malaysia perlu dilakukan menerusi pendekatan lestari, adil dan berasaskan perkongsian hasil dengan menghormati hak negeri-negeri pengeluar sumber.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, selain aspek teknikal, isu keadilan pengagihan hasil juga perlu diberi perhatian supaya negeri-negeri pengeluar REE diberikan hak dan faedah setimpal dengan sumbangan terhadap pembangunan nasional.
Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, pengalaman lalu dalam isu royalti petroleum tidak boleh berulang yang mana negeri pengeluar terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan Pusat untuk menikmati hasil sumber mereka sendiri.
“Industri REE mempunyai potensi besar untuk menjadi pertumbuhan ekonomi baharu negara sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global tenaga hijau.
“Namun ia mesti dibangunkan dengan dasar yang adil, lestari dan menghormati hak negeri pengeluar,” katanya.
Industri REE Malaysia dianggarkan bernilai lebih RM800 bilion yang mana lebih 40 peratus daripada depositnya dikenal pasti berada di Terengganu tetapi kebanyakan kawasan tersebut terletak dalam Hutan Simpan Kekal. – UTUSAN










