GEORGE TOWN: Kerajaan negeri menerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini sedang menunggu surat perjanjian ‘hitam putih’ daripada sebuah institusi penyelidikan pertanian utama di wilayah Fujian, China sebelum memulakan projek rintis khas iaitu padi ratun atau ‘ratoon rice’.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata, beliau menjangkakan surat tersebut akan diperoleh dalam masa yang terdekat ini.
“Kerajaan negeri sendiri telah berjumpa dengan MARDI (untuk membincangkan mengenai projek rintis berkenaan) dan mereka masih menunggu surat itu buat masa ini.
“Mungkin dalam masa seminggu ini kita akan dapatkan maklumat atau data mengenai projek tersebut secara lebih terperinci.
“Kita anggarkan juga dalam masa yang terdekat ini juga iaitu selepas MARDI menerima surat ‘hitam putih’ itu, kita boleh mulakan projek. Mungkin musim (padi) yang akan datang ini kita boleh mula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini memaklumkan, Pulau Pinang bersedia menjadi negeri perintis untuk pelaksanaan projek teknologi penanaman padi ratun iaitu sejenis kaedah moden yang membolehkan padi dituai sebanyak dua kali dengan sekali tanaman.
Katanya, tuaian kedua bagi penanaman kali pertama pula hanya mengambil masa 70 hari dan dengan teknologi itu, ia dapat meningkatkan pendapatan pesawah apabila proses tuaian boleh dilakukan sehingga empat kali dalam setahun, iaitu dengan dua kali penanaman.
Fahmi memberitahu, projek padi ratun itu buat masa ini hanya akan dijadikan sebagai projek rintis yang melibatkan penanaman padi di kawasan MARDI di Pinang Tunggal sahaja.
“Kita tidak akan libatkan mana-mana pesawah buat masa ini. Hanya MARDI dan pihak universiti sahaja (Universiti Perhutanan dan Pertanian Fujian atau FAFU).
“Jika projek rintis ini berjaya, barulah kita akan tengok di mana lokasi yang sesuai untuk menjayakan projek ini. Jadi, kita tunggu dulu bagaimana (pelaksanaannya),” ujar beliau. – UTUSAN










