Projek rumah warga emas mandiri di Kepala Batas bermula tahun depan - Utusan Malaysia

Projek rumah warga emas mandiri di Kepala Batas bermula tahun depan

MOHAMAD Abdul Hamid (kiri) menyampaikan bantuan sempena Karnival Rakyat bersama Timbalan Ketua Menteri-Siri Jelajah Takaful Masuk Kampung, di SMK Sungai Ara, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Projek rumah warga emas mandiri di atas tanah Baitulmal di Pongsu Seribu, di sini dijangka dimulakan tahun depan menerusi kerjasama strategik antara Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, projek berkonsepkan ‘one stop center’ itu merupakan projek perintis di Pulau Pinang dan ia bakal menjadi model kepada pembangunan tanah-tanah Baitulmal di negeri lain.

Menurutnya, projek tersebut akan dilaksanakan dengan pembiayaan sebanyak RM35 juta menerusi anak syarikat KWAP iaitu KWAP Estate Management (KWEST) di atas tanah seluas 10 ekar.

“Pembinaan dijangka bermula tahun depan dan siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Projek ini akan menempatkan sebanyak 290 unit rumah mandiri warga emas, lengkap dengan kemudahan seperti surau, taman, pusat Islam, restoran dan pusat penjagaan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026, yang mengumumkan KWAP dengan komitmen sebanyak RM300 juta akan melaksanakan projek rumah warga emas mandiri di atas tanah Baitulmal di Kepala Batas.

Terdahulu, Mohamad ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Rakyat bersama Timbalan Ketua Menteri-Siri Jelajah Takaful Masuk Kampung, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang melaksanakan inisiatif itu hasil siri perbincangan antara KWAP dan MAINPP sejak September tahun lalu yang turut melibatkan beberapa sesi lanjutan sehingga Ogos 2025.

“Daripada peruntukan keseluruhan RM300 juta yang diumumkan KWAP, sebanyak RM35 juta disalurkan untuk projek perintis ini di Kepala Batas. Ia menandakan komitmen tinggi kerajaan dalam memastikan kesejahteraan warga emas turut diperkasakan selaras dengan prinsip Islam,” ujarnya.

Tambah beliau, konsep rumah mandiri warga emas itu bukan sekadar menyediakan tempat tinggal tetapi turut berfungsi sebagai pusat tarbiyah dan dakwah yang memberi nilai spiritual kepada penghuni.

‘”Ia akan menjadi pusat hidup bersepadu untuk warga emas, ia bukan sekadar penjagaan, tetapi tempat mereka menimba ilmu, bersosial dan menjalani kehidupan dengan bimbingan agama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad turut memaklumkan bahawa Projek Taman Wakaf Seetee Aisah Fasa 2 dan 3, serta Taman Sultan Sallehuddin Fasa 1B dan 2B yang diterajui UDA Holdings Berhad turut giat dilaksanakan dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta.

Katanya, tanah wakaf Seetee Aisah yang diwakafkan sejak tahun 1901 kini menjadi antara contoh terbaik bagaimana aset wakaf dapat dimajukan bagi memberi manfaat berterusan kepada umat Islam.

“Fasa pertama projek ini telah siap pada 2012, dan hasilnya kita memperoleh kutipan sewaan sekitar RM480,000 setahun. Sebahagian besar hasil tersebut diagihkan kepada waris pewakaf, Masjid Permatang Janggus serta asnaf di negeri ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN