PRN Johor: Polis terima 73 laporan, 22 kertas siasatan dibuka - Utusan Malaysia

PRN Johor: Polis terima 73 laporan, 22 kertas siasatan dibuka

Ab. Rahaman Arsad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor menerima 73 laporan polis dengan 22 kertas siasatan telah dibuka berkaitan pelbagai kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sehingga kini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, ia termasuk empat kertas siasatan baharu yang dibuka hasil daripada 17 laporan polis diterima antara Selasa hingga semalam.

Katanya, daripada empat kertas siasatan terbaharu itu, satu kes disiasat di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Satu lagi kertas siasatan membabitkan kesalahan fitnah serta penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, yang disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Manakala dua lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, bagi tempoh 27 Jun sehingga semalam, pihaknya telah menerima sebanyak 4,368 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik di seluruh negeri.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 4,053 permohonan telah diluluskan setelah didapati memenuhi segala syarat yang ditetapkan. Bagi tempoh dua hari kebelakangan ini sahaja (kelmarin dan semalam), kita terima 884 permohonan permit dengan 838 daripadanya diberikan kelulusan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu situasi keselamatan dan ketenteraman awam di seluruh negeri sepanjang proses PRN Johor Ke-16 ini berada dalam keadaan terkawal.

“Kita akan terus mempertingkatkan kesiapsiagaan, pemantauan serta penguatkuasaan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Kesemua program dan aktiviti politik yang berlangsung di lapangan sentiasa dipantau oleh pegawai dan anggota bertugas bagi memastikan penganjurannya mematuhi lunas undang-undang serta tidak menjejaskan ketenteraman awam.

“Sehubungan itu, orang ramai dan parti politik bertanding diminta terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas keselamatan di lapangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN