PRN Sabah: PKR dijangka pertaruh calon wanita baharu

PRN Sabah: PKR dijangka pertaruh calon wanita baharu

FADHLINA Sidek (tengah) ketika ditemui pemberita di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka mempertaruhkan calon wanita baharu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) di Sabah.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu seiring dengan komitmen parti untuk mencapai sasaran iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan calon wanita dalam politik arus perdana.

“Calon yang dipilih sudah semestinya mendapat mandat daripada parti. Itu yang penting. Selain itu, calon berkenaan juga merupakan calon yang berpotensi untuk menang pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram dan Projek Penempatan Semula Ladang Byram, Mukim 11, Seberang Perai Selatan (SPS) yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, seluruh jentera Wanita Keadilan kini sedang melakukan persiapan akhir menjelang penamaan calon.

“Seperti yang kita maklum, Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun dibubarkan dan ketika ini, seluruh jentera wanita sedang melakukan persiapan sebelum digerakkan di seluruh kerusi-kerusi yang telah pun dikenal pasti untuk diletakkan calon kita.

“Insya Allah, dari segi penamaan dan sokongan calon, kita akan beri sepenuhnya sebagai satu tanggungjawab kita kepada parti dan mendukung semua calon-calon yang akan bertanding nanti,” katanya.

Terdahulu, DUN Sabah telah dibubarkan berkuat kuasa 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN17.

Pembubaran DUN itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, selepas pertemuan bersama Presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN