KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatur gerak seramai 9,500 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penugasan itu melibatkan keseluruhan kawasan di negeri berkenaan termasuk 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan dengan lebih 3,500 saluran mengundi di Sabah.
“Kita turut mengambil kira keluasan dan cabaran geografi negeri tersebut yang memerlukan persiapan logistik termasuk penggunaan helikopter bagi memastikan penempatan anggota dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Bilangan 13 Siri 1/2025 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, setakat ini, permohonan daripada Polis Sabah dianggarkan 1,000 ke 1,500 tambahan pegawai dan anggota untuk dihantar ke sana.
Jelasnya, Bukit Aman akan memberikan bantuan yang sepatutnya.
“Kita menasihatkan semua pihak termasuk pemimpin parti dan penyokong agar menjaga tatasusila serta disiplin sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan suasana pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.
“Negara kita berbilang kaum dan berada dalam keadaan baik. Saya menyeru semua pihak supaya mematuhi undang-undang agar PRN kali ini dapat dijalankan dengan lancar, aman dan sempurna,” jelasnya.
Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Selaras itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Selasa minggu depan bagi menentukan tarikh penting berkaitan PRU Sabah ke-17. – UTUSAN










