Tindakan PBS tawar diri ketuai jentera lima bekas ADUN STAR tidak mengejutkan

Tindakan PBS tawar diri ketuai jentera lima bekas ADUN STAR tidak mengejutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Langkah Parti Bersatu Sabah (PBS) menawarkan diri untuk mengetuai jentera pilihan raya bagi lima penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar dari Parti Solidariti Tanahairku (STAR) bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata, keputusan PBS itu sudah dijangka memandangkan kelima-lima ADUN tersebut telah memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas mengemukakan surat peletakan jawatan daripada STAR.

“STAR menghormati keputusan lima penyandang berkenaan namun langkah PBS ini bukan perkara baharu atau mengejutkan bagi kami,” katanya dalam  kenyataan di sini, semalam.

Beliau turut menegaskan perjuangan STAR tidak tertumpu kepada individu, sebaliknya berlandaskan kepada agenda jangka panjang demi masa depan dan maruah Sabah serta rakyatnya.

“Perjuangan kami tidak bersandarkan kepada personaliti, tetapi kepada prinsip dan hala tuju yang jelas iaitu Sabah untuk rakyat Sabah,” ujarnya.

Sebagai persiapan menghadapi PRN17, Anuar berkata, STAR telah melantik pemimpin interim di lima kawasan yang ditinggalkan oleh penyandang itu bagi menggerakkan jentera parti dan mengekalkan momentum sokongan di peringkat akar umbi.

“Pemimpin ini akan memikul tanggungjawab besar dalam memastikan agenda perjuangan STAR terus dilaksanakan, berteraskan integriti, perpaduan dan hak rakyat Sabah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN