PETALING JAYA: Agihan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan serta akan diumumkan pada hari penamaan calon nanti.
Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor berkata, jumlah kerusi antara kedua-dua gabungan itu juga telah dipersetujui setakat ini.
Namun, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah enggan mengumumkan lebih lanjut berkenaan perkara (agihan kerusi) itu
“Saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu sahaja pada hari penamaan calon dan anda akan tahu bilangannya,” katanya selepas melawat Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan, hari ini.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, GRS akan melancarkan manifestonya selepas hari penamaan calon dan memberi jaminan akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah.
Beliau yakin gabungan GRS-PH akan menerima mandat rakyat berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran selama lima tahun.
“Kami telah mencapai banyak kejayaan melalui pelbagai program sosioekonomi untuk rakyat dan membawa pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pembangunan ekonomi Sabah.
“Kerajaan negeri juga membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk inisiatif pembangunan modal insan serta memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar dalam senarai e-Kasih,” katanya.-UTUSAN










