GEORGE TOWN : Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup di daerah Barat Daya iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh, Balik Pulau kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Kawalan Bencana Negeri Pulau Pinang berkata, ketika ini, hanya enam PPS masih dibuka di dua daerah untuk menempatkan seramai 849 orang mangsa banjir melibatkan 233 keluarga di Pulau Pinang sehingga pukul 5 petang ini.
Katanya, di Seberang Perai Utara (SPU), empat PPS yang masih dibuka ialah di SK Lahar Yooi, SK Padang Menora, Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting.
“Baki dua lagi PPS yang masih dibuka ialah di SK Guar Perahu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir di daerah Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, berdasarkan info yang diperoleh daripada laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 849 mangsa yang masih berada di PPS berkenaan termasuk 197 bayi dan kanak-kanak, 83 warga emas serta tujuh orang kurang upaya (OKU).-UTUSAN










