Polis siasat unsur jenayah lain kes tertembak rakan semasa berburu - Utusan Malaysia

Polis siasat unsur jenayah lain kes tertembak rakan semasa berburu

NOOR Hisam Nordin ditemui pemberita pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara PDRM Kontinjen Perak di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis sedang menyiasat kemungkinan wujud elemen jenayah lain berhubung kes seorang lelaki yang maut ditembak kerana disangka haiwan buruan sebelum mayatnya ditinggalkan di Kampung Selamat, Semanggol dekat Bagan Serai, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, setakat ini, siasatan kes berkenaan kekal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Berdasarkan siasatan awal, berlaku kekeliruan ketika mangsa dan empat yang lain berburu di mana suspek melepaskan tembakan kerana menyangka mangsa adalah haiwan buruan.

“Bagaimanapun, kita masih lagi menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah lain dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Warga Kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak Tahun 2025 di Mes Pegawai Kanan di sini hari ini.

Menurut beliau, setakat ini, empat lelaki telah ditahan dengan suspek terakhir berusia 50 tahun diberkas di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian kelmarin pada pukul 4.30 petang.

Katanya, lelaki itu yang positif dadah direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut.

“Sebelum ini kita telah menahan tiga lelaki berusia antara 32 hingga 36 tahun yang mana seorang daripada mereka merupakan adik ipar mangsa.

“Pemeriksaan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah selain semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kes narkotik dan jenayah,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki sanggup membawa mayat rakan mereka yang maut dipercayai tertembak ketika berburu dari Batu Caves, Selangor sejauh lebih 300 kilometer semata-mata untuk mereka-reka jalan cerita baharu mengenai kejadian yang meragut nyawa itu.

Mayat lelaki berusia 43 tahun itu ditinggalkan di tepi jalan tidak berturap di Kampung Selamat dengan tiga kesan tembakan di bahagian belakang badan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN