KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia berdepan risiko kehilangan potensi hasil eksport mencecah AS$237.5 bilion sekiranya gagal mematuhi piawaian alam sekitar dan perubahan iklim yang semakin ketat ditetapkan pasaran antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr. Ching Thoo Kim berkata, PKS memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan inovasi.
Kata beliau, isu ini bukan sekadar cabaran alam sekitar malah turut melibatkan daya saing dan ketahanan negara.
“Laporan terbaharu pada tahun 2025 turut memberi amaran tentang kesan ekonomi serius sekiranya tiada tindakan diambil. Hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah, sebagai contoh, dijangka merosot antara 20 hingga 30 peratus.
“Pada masa yang sama, sektor akuakultur turut terancam apabila peningkatan suhu air menyebabkan kematian ikan dan kemerosotan kualiti air.
“Selain itu, PKS yang berorientasikan eksport juga berisiko kehilangan hasil sebanyak AS$237.5 bilion sekiranya gagal mematuhi piawaian alam sekitar dan iklim.
Beliau berkata demikian ketika majlis minum petang Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Tambah beliau, Malaysia telah berdepan gelombang haba luar biasa, dengan suhu ekstrem mencecah antara 40°C hingga 45°C, yang menjadikan tahun ini sebagai tahun paling panas dalam sejarah moden negara.
“Gelombang haba ini bukan sekadar angka statistik, ia adalah realiti yang dirasai oleh setiap rakyat Malaysia. Justeru, inovasi dan penyelesaian anda amat penting pada waktu ini,” katanya. – UTUSAN










