Mbappe, Messi rebut kasut emas

Mbappe, Messi rebut kasut emas

LIONEL Messi (kanan) dan Kylian Mbappe merebut gelaran kasut emas selepas masing-masing mengumpul lapan gol dalam kempen Piala Dunia 2026-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Perebutan gelaran Kasut Emas Piala Dunia 2026 kini tertumpu kepada Kylian Mbappe dan Lionel Messi selepas membawa negara masing-masing ke peringkat separuh akhir.

Mbappe dan Messi ketika ini berkongsi kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak dengan lapan gol menjelang aksi separuh akhir yang bakal berlangsung pada Rabu dan Khamis ini.

Mbappe terus membuktikan ketajamannya bersama Perancis apabila meledak lapan gol untuk membantu Les Bleus mara ke kelompok empat terbaik, sekali gus berada di landasan terbaik memburu gelaran penjaring terbanyak buat kali pertama dalam kariernya.

Bagaimanapun, kapten Perancis itu berkata, sasaran sebenarnya adalah memastikan skuad Les Bleus mara ke final dan membawa pulang trofi kejohanan.

“Sasaran kami adalah untuk pergi sejauh mungkin, mara ke final pada 19 Julai. Kami mahu menang dan mengambil satu langkah pada satu masa. Sudah tentu, semakin banyak gol yang dijaringkan, semakin tinggi kedudukan anda dalam senarai penjaring, tetapi itu bukan fokus utama saya,” katanya.

Mbappe turut menjangkakan Messi akan terus menambah jumlah jaringannya dalam kejohanan tersebut.

“Saya yakin Messi akan menjaringkan lebih banyak gol, jadi saya tidak terlalu memikirkannya. Saya lebih fokus kepada lawan yang bakal kami hadapi dan sejauh mana kami semakin hampir kepada matlamat kami iaitu ke final,” katanya.

Peluang penyerang Norway, Erling Haaland yang mengumpul tujuh jaringan untuk memintas Mbappe dan Messi sudah tertutup selepas Norway disingkirkan England pada suku akhir.

England pula memiliki dua calon yang masih berpeluang mencabar apabila Harry Kane dan Jude Bellingham masing-masing mengumpul enam gol serta bakal beraksi pada separuh akhir menentang Argentina.

Prestasi luar biasa Bellingham yang meledak dua gol ketika menyingkirkan Norway melonjakkan namanya dalam perlumbaan Kasut Emas, manakala Kane hanya memerlukan dua lagi jaringan untuk menyamai Mbappe dan Messi.

Dengan Perancis bakal berdepan Sepanyol, manakala Argentina bertemu England pada separuh akhir, saingan memburu gelaran penjaring terbanyak dijangka menjadi antara tumpuan utama kejohanan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN