PROSES daftar masuk di hotel dijangka menjadi lebih pantas dan mudah menerusi pelancaran Nano-S, kios daftar masuk sendiri bersaiz kompak yang diperkenalkan oleh Vendfun Sdn. Bhd.
Dilancarkan pada Sidang Kemuncak Automasi Hospitaliti Malaysia (HOSAS) 2026, Nano-S dibangunkan khusus untuk membantu hotel, terutama hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah, mengurangkan kesesakan di kaunter hadapan selain meningkatkan pengalaman tetamu.
Meskipun tampil dengan saiz yang kompak, Nano-S hadir dengan pelbagai fungsi dalam satu peranti, termasuk pengimbas pasport dan kad pengenalan, terminal pembayaran, mesin kad serta pencetak resit.
Bagi hotel yang mahu mengurangkan penggunaan kertas, resit juga boleh dihantar terus ke e-mel tetamu.
Apa yang membezakan Nano-S ialah setiap unit turut didatangkan dengan sistem keahlian pelanggan Vendfun tanpa kos tambahan.
Sepanjang proses daftar masuk, tetamu akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli dan boleh mula mengumpul ganjaran.
Sebagai contoh, mereka layak menikmati satu malam penginapan percuma selepas menginap sebanyak 10 malam dalam tempoh setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Vendfun, Benny Wee berkata, Nano-S direka untuk memudahkan operasi hotel tanpa memerlukan pelaburan yang besar atau ruang yang luas.
“Matlamat kami adalah membantu hotel memodenkan proses daftar masuk dengan penyelesaian yang ringkas, mudah digunakan dan benar-benar memberi manfaat kepada pengusaha serta tetamu,” katanya.
Menurut beliau, Vendfun turut membangunkan sendiri pengimbas pasport dan kad pengenalan 2-dalam-1 yang mampu membaca pelbagai dokumen pengenalan dari seluruh dunia, sekali gus membolehkan Nano-S digunakan di hotel di pelbagai negara.
Bagi hotel yang memerlukan ciri keselamatan tambahan, Nano-S juga menawarkan kamera definisi tinggi (HD) yang menyokong pengesahan wajah dan perkhidmatan concierge secara video.
Di Singapura, Vendfun diiktiraf sebagai vendor EVA-Ready di bawah Program E-Visitor Authentication, membolehkan kiosnya digunakan untuk proses daftar masuk digital yang mematuhi keperluan pengesahan identiti pelawat antarabangsa.
Sejak memasuki industri hospitaliti pada 2020, Vendfun telah memasang lebih 150 unit kios daftar masuk sendiri di 12 negeri di Malaysia serta di Singapura, Indonesia, Thailand, Australia dan Amerika Syarikat.
Nano-S kini ditawarkan kepada hotel di Malaysia dan syarikat merancang memperluaskan pemasarannya ke seluruh rantau ASEAN menjelang akhir tahun ini. – UTUSAN










