HP Malaysia sasar pacu fasa pelaksanaan AI, sedia kurangkan kerumitan IT korporat - Utusan Malaysia

HP Malaysia sasar pacu fasa pelaksanaan AI, sedia kurangkan kerumitan IT korporat

ALEX TAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: HP Malaysia (HP) mengunjurkan landskap digital tempatan kini beralih ke ‘fasa pelaksanaan’ teknologi Kecerdasan Buatan (AI), dengan organisasi perniagaan mula beralih daripada peringkat eksperimen kepada sasaran pulangan hasil yang lebih nyata dan boleh diukur.

Seiring dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai ‘Negara AI’, keperluan transformasi digital kini menuntut corak kerja yang lebih tangkas, produktif, serta kalis ancaman siber menerusi ekosistem peranti pintar yang selamat.

Pengarah Urusan HP Malaysia, Alex Tan berkata, pasaran domestik kekal menjadi komponen strategik yang penting buat rantaian nilai global HP, bukan sahaja sebagai pasaran pengguna tetapi juga sebagai hab pengeluaran serantau berimpak tinggi.

Menurut beliau, komitmen jangka panjang syarikat dizahirkan menerusi fasiliti HP Malaysia Manufacturing di Pulau Pinang yang membekalkan kartrij dakwat ke 175 buah negara sejak 2016, selain peluncuran Malaysia Manufacturing Transformation Center bagi memperkukuh keupayaan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

“Di sebalik minat tinggi korporat terhadap AI, isu kerumitan integrasi sistem, kesediaan perkakasan dan kekangan saiz pasukan IT dalaman terutamanya bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi cabaran utama dalam pemodenan tempat kerja hari ini.

“Fokus utama HP dalam tempoh beberapa tahun akan datang adalah untuk memudahkan kerumitan tersebut dengan menjadikan teknologi AI lebih praktikal, dipercayai dan mudah diakses oleh semua peringkat perniagaan tanpa memerlukan kos infrastruktur IT yang terlalu rumit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai evolusi komputer peranti AI (AI PC), beliau berkata, perbincangan industri tidak seharusnya hanya terhad kepada spesifikasi perkakasan atau kuasa pemprosesan semata-mata.

Sebaliknya, keutamaan pemilik perniagaan adalah sama ada ekosistem AI tersebut boleh diaplikasikan dengan selamat, diuruskan pada skala besar, serta mampu mengurangkan tugasan berulang demi meningkatkan kecekapan automasi kerja harian kakitangan.

“Bagi menyokong persekitaran kerja hibrid yang kini lebih berpaksikan kepada kualiti pengalaman pengunjung, keselamatan titik hujung menjadi benteng yang sangat kritikal kerana di situlah produktiviti bermula dan risiko pencerobohan siber sering terjadi.

“Justeru, HP menangani peningkatan permintaan ini melalui perlindungan HP Wolf Security yang direka bina terus ke dalam perkakasan (hardware-enforced protection) merangkumi komputer riba, pencetak, serta peranti kolaborasi harian perniagaan.

“Langkah perlindungan ini memastikan kakitangan syarikat boleh bertukar platform kerja dan data dari mana-mana lokasi dengan penuh yakin tanpa menjejaskan kelancaran atau memperlahankan produktiviti operasi mereka,” katanya.

Tambahnya, selain trend fasa pelaksanaan AI dan pemantapan budaya kerja hibrid, elemen kepercayaan bakal menjadi kelebihan daya saing yang utama bagi sesebuah syarikat pada masa hadapan.

“Syarikat yang mempunyai tadbir urus data yang telus, amalan AI yang bertanggungjawab, serta keselamatan peranti yang utuh akan lebih mudah menguasai keyakinan pasaran berbanding pesaing lain.

“Oleh itu, HP komited untuk terus memainkan peranan sebagai rakan teknologi strategik dalam pasaran tempatan dengan menyediakan penyelesaian tempat kerja berasaskan AI yang bersepadu bagi membina daya tahan perniagaan yang lebih kukuh di Malaysia,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN