SEBUT sahaja tentang piramid, fikir pasti tertumpu ke bumi Mesir.
Di sinilah Piramid Agung Giza tersergam megah hingga diiktiraf antara tujuh keajaiban dunia purba.
Malah, lebih 100 piramid dikatakan dibina di negara itu. Namun, tahukah anda piramid bukan hanya ada di Mesir?
Jauh di benua Amerika Selatan, tersimpan satu lagi warisan purba yang menakjubkan iaitu Huaca Pucllana.
Destinasi bersejarah berusia lebih 1,500 tahun ini sempat saya lawati ketika berada di Lima, Peru baru-baru ini.
Pada mulanya, saya sedikit sangsi, benarkah wujud piramid di tengah-tengah kesibukan bandar moden di daerah Miraflores ini?
Rasa tidak logik pula, kerana minda saya membayangkan piramid hanya wujud di kawasan gurun atau padang pasir.
Namun, sebaik sahaja tiba, segala bayangan itu meleset.
Huaca Pucllana yang setinggi 22 meter, dibina sepenuhnya daripada bata adobe iaitu campuran tanah liat, pasir dan jerami.
Berbeza dengan piramid Mesir yang menggunakan batu kapur dan granit dengan ketinggian mencecah 150 meter.
Dari jauh, ia kelihatan seperti timbunan pasir tetapi apabila didekati, kehalusan susunannya terserlah lantas memperlihatkan kemahiran pembinaan masyarakat pra-Inka.
Istimewanya, teknik susunan bata dibuat secara menegak seperti rak buku bagi melindungi daripada gegaran gempa bumi yang sering melanda Peru.
Pemandu pelancong memaklumkan struktur berteres tujuh tingkat ini dibina antara tahun 200 hingga 700 Masihi.
Fungsinya sebagai pusat keagamaan dan pentadbiran masyarakat Budaya Lima.
Selain itu, ia juga menjadi tapak pengebumian dengan salah satu penemuan terkenal ialah Señor de los Unkus, seorang lelaki berstatus tinggi yang pernah mendiami Huaca Pucllana.
Bagi artifak pula, antara yang ditemui ialah tembikar, tekstil, alatan batu dan tulang haiwan, sekali gus menggambarkan kehidupan harian, ritual dan kepercayaan masyarakat zaman silam.
Tidak runtuh dek hujan
Saya sekali lagi tertanya-tanya, bagaimana piramid tanah liat ini mampu bertahan sebegitu lama.
Persoalan demi persoalan muncul, tidakkah ia berisiko runtuh sekelip mata jika hujan lebat atau banjir?
Rasa bimbang menghantui diri dan hampir membuatkan saya mahu segera turun dari tingkat paling atas ketika mengikuti lawatan bersama kumpulan pelancong Eropah itu.
Setiap sesi lawatan dikendalikan oleh pemandu pelancong dalam dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan Sepanyol.
Hati saya kembali lega apabila petugas itu menjelaskan yang piramid ini sangat kukuh dan tidak terjejas sama sekali walaupun hujan.
Hal itu kerana hujan jarang turun di Lima, menjadikan bandar ini tergolong dalam kawasan paling kering di dunia, walaupun terletak di pesisir Lautan Pasifik.
Secara purata, ia hanya menerima hanya sekitar enam hingga 13 milimeter hujan setahun, bergantung kepada kawasan dan tahun.
Kebanyakan hujan turun dalam bentuk kabut pagi yang membuatkan bandar kelihatan berkabus tetapi tidak merosakkan struktur Huaca Pucllana.
Disebabkan jarang hujan, maka seluruh Lima tidak mempunyai sistem saliran longkang seperti di kebanyakan bandar lain.
Berabad ‘hilang’
Selepas kejatuhan Budaya Lima pada tahun 700 Masihi, Huaca Pucllana perlahan-lahan ditinggalkan dan dilupakan.
Apabila tamadun baharu mengambil alih, kawasan ini tidak lagi digunakan.
Piramid tanah liat yang dahulunya megah semakin lenyap ditelan masa, bahkan menjadi lokasi pembuangan sampah oleh penduduk setempat yang tidak menyedari kewujudannya.
Namun, pada 1981, ahli arkeologi Peru, Isabel Flores Espinoza berjaya menemui semula tapak bersejarah itu di tengah hiruk-pikuk bandar.
Penemuan itu membuka lembaran baharu dalam usaha mengkaji semula tamadun Lima yang sudah lama lenyap.
Sejak itu, kerja-kerja ekskavasi dan pemuliharaan dilakukan secara berperingkat hingga kini.
Lantas, membolehkan dunia melihat kembali keagungan seni bina dan kehidupan masyarakat yang pernah mendiami Huaca Pucllana.
Dalam lawatan selama sejam itu, pelancong berpeluang melihat pelbagai buah-buahan dan sayuran yang ditanam di taman kecil di sini.
Antaranya, lucuma iaitu buah asli Peru diikuti avokado, quinoa, ubi keledek serta daun koka.
Selain itu, terdapat juga kandang llama, alpaka dan tikus belanda yang terletak bersebelahan.
Kewujudan tanaman dan haiwan ini menggambarkan kehidupan harian dan pertanian masyarakat Lima purba serta cara berinteraksi dengan alam sekitar.
Destinasi menarik lain
Sebelum tiba di Lima, jujurnya saya agak risau kerana selama ini, ramai mengaitkan Peru dengan kes dadah dan jenayah.
Tetapi setibanya di daerah Miraflores, semua kebimbangan hilang.
Kawasan ini selamat, bersih, moden, tenang, mesra pelancong dan penuh dengan tarikan menarik untuk diterokai.
Selain itu, ia tergolong dalam kawasan golongan T20 dan sering menjadi pilihan ramai pelancong termasuklah saya sendiri.
Saya sempat melawat taman awam sebelum singgah ke pusat beli-belah moden di tebing laut, Larcomar yang menyajikan panorama indah Lautan Pasifik.
Selepas itu, kunjungan diteruskan ke Barranco, daerah yang terletak bersebelahan dengan Miraflores.
Kawasan ini terkenal dengan suasana santai, seni dan budaya tempatan, termasuk mural berwarna-warni, galeri seni kontemporari serta kafe dan bar hipster yang unik.-UTUSAN










