Piala Emas Raja-Raja: Pulau Pinang azam cipta kejutan besar

Piala Emas Raja-Raja: Pulau Pinang azam cipta kejutan besar

MANZOOR Azwira Abdul Wahid (berdiri, tiga dari kiri) bersama para pemain yang akan membawa cabaran Pulau Pinang pada saingan Piala Emas Raja-Raja kali ke-103 semasa majlis pelancaran jersi pasukan itu di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Selepas tersingkir pada peringkat kumpulan musim lalu, skuad Pulau Pinang berazam untuk melakukan kejutan besar pada saingan Piala Emas Raja-Raja yang memasuki edisi ke-103 tahun ini.

Dibarisi oleh rata-rata pemain muda yang berusia antara 16 hingga 24 tahun, ketua jurulatih, Manzoor Azwira Abdul Wahid optimis pasukannya mampu memberi cabaran yang getir kepada pasukan lain.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, sehubungan itu, mereka akan cuba memanfaatkan peluang beraksi sebagai tuan rumah dalam saingan peringkat kumpulan pada tahun ini untuk mara sejauh mungkin sehingga ke final.

“Pemilihan pemain telah bermula sejak bulan Ogos manakala latihan intensif pula bermula pada bulan September.

“Sebenarnya, rata-rata pemain kita terdiri daripada pemain amatur sahaja. Ada yang bekerja, ada yang masih belajar. Tapi, komitmen dan semangat yang mereka tunjukkan ketika ini bagi saya memberikan satu petanda yang positiflah kepada pasukan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran jersi untuk skuad Pulau Mutiara itu yang turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang (PBSMPP), Abdul Gaffar Hoosen di sini, malam tadi.

Pada saingan kali ini, skuad Pulau Pinang diletakkan satu kumpulan bersama Perlis, Melaka dan Pahang dalam Kumpulan A dengan sepak mula dijangka berlangsung petang ini di Padang Universiti Sains Malaysia (USM) A1 dan A2.

Dalam pada itu, Abdul Gaffar yakin bahawa skuad kendalian Manzoor Azwira itu mampu menjulang piala tersebut pada saingan kali ini.

“Sasaran kita pada tahun ini, insya-Allah, kita target juara. Kalau kita target biasa-biasa pun tak guna. Kita buat yang terbaik, dan walaupun serba kekurangan, kita yakin dengan barisan jurulatih dan pemain yang komited sejak awal,” ujar beliau.

Untuk rekod, kali terakhir Pulau Pinang menjulang kejuaraan bola sepak tertua di Asia itu ialah pada 2017.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN