KULAI: Keputusan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) susulan keengganan BN bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih belum dimuktamadkan.
Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, berkata rundingan antara PH dan BN masih berjalan, sekali gus menolak dakwaan kononnya kerjasama itu sudah berakhir.
“Kenyataan bahawa BN Sabah tidak mahu bekerjasama dengan PH mungkin hanya pendapat peribadi sesetengah individu. Setakat pengetahuan saya, rundingan masih dijalankan antara kedua-dua pihak, walaupun saya tidak terlibat secara langsung,” katanya selepas menghadiri program Run For The Future anjuran I-Jaya Management Sdn. Bhd. di Hutan Bandar Putra, Kulai, hari ini.
Nie Ching yang juga Pengerusi DAP Johor, berharap BN Johor bersedia bekerjasama dengan PH negeri menjelang PRN Johor yang dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun lagi.
“Berhubung PRN Johor, kita masih terus mengadakan perbincangan. Kita harap kerjasama diadakan antara PH dan BN kelak,” katanya.
Pada 4 September lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada pilihan raya negeri berkenaan.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dilaporkan berkata pihaknya menghormati keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah GRS dalam PRN Sabah, bagaimanapun akan terus berbincang dengan BN dan GRS bagi mencari penyelesaian terbaik. – UTUSAN










