Peserta Freedom Flotilla cedera, pipi bengkak

Peserta Freedom Flotilla cedera, pipi bengkak

DR. FAUZIAH MOHD. HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Madleens to Gaza (TMTG), Dr. Fauziah Mohd. Hassan dilaporkan mengalami kecederaan ringan sehingga menyebabkan bahagian pipinya bengkak.

Insiden itu berlaku ketika kapal bergoyang di tengah pelayaran memasuki hari kelima, seperti dikongsikan oleh Ketua Delegasi Malaysia, Dr. Mohd. Alauddin dalam Facebook MyCare.

“Ketika kami sedang menunaikan solat Jumaat, semalam kapal bergoyang menyebabkan beliau jatuh kerana berjalan sambal memegang te­lefon.

“Namun, tiada kecederaan serius berlaku, hanya bengkak pada bahagian pipi. Kami dinasihatkan untuk berpegang atau berpaut pada pemegang kapal supaya tidak terjatuh,” katanya.

Sementara itu, wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Jalil yang menyertai misi tersebut memberitahu kapal yang dinaikinya akan terus merentasi samudera memasuki garisan kuning.

Katanya, laluan itu menuntut mereka untuk bersiap sedia mendepani apa jua cabaran dan dugaan mendatang.

“Alhamdulillah, kesemua delegasi sudah bersedia dan terus bertekad meneruskan perjalanan sehingga sampai ke destinasi.

“Semoga perjalanan ini terus mendapat limpah dan kurniaan-Nya. Terus doakan kami semua yang terlibat dalam misi ini,” katanya.

Kapal yang dinaiki oleh sembilan delegasi Malaysia membawa lebih 150 peserta dari 25 negara, termasuk pakar perubatan, wartawan antarabangsa dan aktivis keamanan.

Daripada jumlah itu, lapan delegasi Malaysia berlayar de­ngan Conscience, manakala seorang lagi aktivis, Dr. Maziah Muhammad, berada di Umm Saad bersama tujuh kapal kecil lain.

Delegasi Malaysia diketuai Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd Ali dan tiga doktor perubatan, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi serta dua pensyarah universiti, Profesor Dr. Mohd. Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail.

Turut sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan Syafik Shukri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN