Pertahan rebana ubi daripada pupus - Utusan Malaysia

Pertahan rebana ubi daripada pupus

ROSNAN Abdul Rahman (kanan) bersama Mohd. Izani Ghani melakukan gimik memukul rebana ubi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kebuda­ya­an dan Kesenian Negara (JKKN) menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui inisiatif MYAirportCARES Lesta­ri Seni dalam usaha memperta­hankan rebana ubi daripada pupus.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Rosnan Abdul Rahman berkata, MAHB memperuntukkan sebanyak RM140,000 kepada Persatuan Kebudayaan Kesenian Awang Selamat yang berdaftar dengan JKKN dalam mengge­rakkan usaha tersebut.

Katanya, ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf bengkel, membeli peralatan dan melak­sa­nakan program perintis pemuliharaan seni berkenaan sebagai langkah memperkukuh ke­sinambungan warisan tempatan supaya kekal relevan untuk generasi akan datang.

“Usaha yang digerakkan ini selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang mana JKKN mahu memper­ku­kuh ekosistem seni budaya me­lalui pendekatan pemberdayaan komuniti, pemuliharaan khaza­nah warisan dan pengembangan kreativiti tempatan.

“Besar harapan kita agar seni tradisional terus berkembang da­lam arus moden,” katanya selepas melancarkan program MYAirportCARES Lestari Seni Maj­lis Pemerkasaan dan Pemu­li­haraan Rebana Ubi Serta Sambutan Penerbangan Sulung Scoot dari Singapura ke Kota Bharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd. Izani Ghani dan Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airports Sdn. Bhd., Kamaruzzaman Razali.

Rosnan mengakui pembua­tan rebana ubi berdepan caba­ran apabila jumlah pelapis muda dalam bidang tersebut semakin berkurangan.

Beliau berharap usaha yang digerakkan itu mampu mena­rik lebih ramai generasi muda mempelajari kemahiran membuat rebana ubi dan bukan sekadar pandai mengendalikan alat muzik tersebut.

“Ketika ini kita ada seorang tokoh yang masih aktif dalam kerja-kerja pembuatan rebana ubi iaitu Mohd. Nor Zakaria (Pak Nor), 72, dari Persatuan Kebudayaan Kesenian Awang Selamat,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Izani berkata, kerjasama rapat MAHB dengan JKKN Kelantan serta Persatuan Kebudayaan Kesenian Awang Selamat sangat pen­ting dalam memastikan kesi­nam­bungan seni pembuatan rebana ubi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN