Permohonan reman usahawan hartanah bergelar Datuk ditolak mahkamah

Permohonan reman terhadap usahawan hartanah bergelar Datuk, adik ditolak mahkamah

USAHAWAN hartanah dan adiknya ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Permohonan perintah tahanan reman terhadap seorang usahawan hartanah dan adiknya yang disyaki terlibat dalam kes penipuan urus niaga tanah, ditolak Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas alasan dia pernah dipanggil untuk siasatan kes itu.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman membuat keputusan itu selepas permohonan reman dibuat polis untuk siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Usahawan hartanah bergelar Datuk berusia 38 tahun itu bersama adiknya berusia 31 tahun  yang diwakili Peguam Ahmad Adha Amir Yasser, tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.40 pagi dengan diiringi polis.

Menurut Ahmad Adha, Majistret membuat keputusan menolak reman terhadap kedua-dua anak guamnya selepas alasan yang dikemukakannya ketika prosiding termasuk anak guamnya selaku orang kena saman (OKS) pernah dipanggil untuk siasatan kes itu sebelum ini. 

“Anak guam saya juga memberi kerjasama yang baik kepada polis dan bersedia dipanggil di mana-mana ibu pejabat polis. Selain itu,  tidak ada unsur dorongan untuk menipu kerana ia melibatkan perjanjian jual beli. Elemen siasatan di bawah 420 Kanun Keseksaan ini dilihat tidak lengkap kerana sudah ada perjanjian jual beli dan tanah itu wujud,” katanya. 

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, usahawan hartanah itu ditahan selepas dia dihadapkan di Mahkamah Sesyen Besut, semalam bagi pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. 

Lelaki itu ditahan semula oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu bagi membantu siasatan kes penipuan urus niaga tanah melibatkan seorang pesara guru yang mendakwa kerugian RM35,000 pada 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×