PUTRAJAYA: Permohonan kemasukan pelajar ke Institusi TVET Awam bagi Sesi Januari 2026 telah dibuka melalui UP_TVET Perdana mulai semalam sehingga 16 November depan.
Sekretariat Majlis TVET Negara dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 94 Institusi TVET Awam di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Belia dan Sukan yang menawarkan 460 kursus di peringkat ijazah, diploma dan sijil bagi pengambilan sesi itu.
“Permohonan terbuka kepada lepasan sekolah, belia, serta individu yang berminat untuk membina kerjaya melalui TVET.
“Semua calon yang layak digalakkan mengambil peluang mengikuti kursus TVET yang ditawarkan oleh Institusi TVET Awam,” katanya hari ini.
Pada Sesi Julai lalu, UP_TVET Perdana telah menerima 182,162 permohonan daripada 42,365 pemohon.
Katanya, seramai 23,038 calon ditawarkan tempat mengikuti pengajian sepenuh masa di pelbagai Institusi TVET Awam.
Permohonan boleh dibuat melalui pautan: https://mohon.tvet.gov.my/main/perdana.