PUTRAJAYA: Jabatan Tenaga Manusia (JTM) meneruskan kesinambungan pembudayaan inovasi di peringkat nasional menerusi penganjuran Karnival Teknologi dan Kreativiti JTM 2026 di Kolej Teknologi Termaju JTM (ADTEC) Kampus Taiping, Perak.
Susulan kejayaan edisi 2025 di Jerantut, Pahang, karnival kali ini bertujuan menjadi platform strategik bagi mengembangkan bakat dan potensi peserta merentas pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut Ketua Pengarah JTM, Datuk Rospiagos Taha, karnival berkenaan menekankan pembabitan peserta dalam meneroka inovasi termaju, memperkukuh daya cipta serta pemikiran kompetitif sejajar dengan keperluan industri masa hadapan.
“Program ini juga memartabatkan kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah JTM.
“Ia membuktikan laluan pendidikan berteraskan kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia adalah pilihan kompetitif, berprestij dan relevan dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan.
Karnival yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 12 Februari depan menyasarkan kehadiran seramai 7,000 pengunjung, termasuk pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta peserta dari institut latihan kemahiran awam dan swasta.
Karnival ini turut menampilkan Pertandingan Inovasi merangkumi pelbagai bidang strategik antaranya Automasi Pembuatan dan Reka Bentuk Perindustrian, Bahan dan Bioteknologi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Telekomunikasi, Audio Visual, Alam Sekitar dan Tenaga.
Bidang lain termasuk Automotif, Aeroangkasa, Teknologi Penerbangan, Pengangkutan Laut dan Udara, Peralatan, Elektrik dan Elektronik, Jentera serta Pendidikan.
Sebanyak 340 projek inovasi telah didaftarkan, melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi, institusi latihan kemahiran, serta wakil agensi awam dan swasta dari seluruh negara.
Melalui penganjuran ini, JTM berharap dapat melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal, malah berdaya cipta tinggi, seterusnya memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan yang dinamik dan kompetitif. – UTUSAN










