Permohonan bekas model jalani pemeriksaan psikiatri kedua dibantah - Utusan Malaysia

Permohonan bekas model jalani pemeriksaan psikiatri kedua dibantah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan membantah permohonan bekas pelakon dan model, Persana Avril Sollunda untuk menjalani pemeriksaan psikiatri kedua atas alasan keadaan kesihatan mentalnya semakin merosot.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suhaila Haron, peguam yang mewakili tertuduh, Rubhern Raj berkata, anak guamnya perlu menjalani pemeriksaan semula selepas mengadu ubat yang dibekalkan sebelum ini tidak lagi berkesan.

“Saya mohon supaya satu lagi pemeriksaan psikiatri dijalankan kerana Persana memaklumkan ubat yang dibekalkan kepadanya tidak lagi berkesan.

“Anak guam saya juga mengadu sering mundar-mandir dan sukar untuk dikawal sehingga menimbulkan masalah kepada pihak penjara,” katanya hari ini.

Pada kali pertama, Persana, 43, diperintahkan untuk menjalani pemeriksaan dan penilaian psikiatri ialah pada 22 Julai lalu dan pada prosiding bertarikh 17 September lalu, mahkamah telah dimaklumkan bahawa wanita terbabit layak dibicarakan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham membantah permohonan tersebut dan memaklumkan laporan perubatan terdahulu sudah memadai.

“Keberkesanan ubat tidak ada kaitan dengan kelayakan tertuduh untuk dibicarakan. Peguam boleh mengemukakan surat dan berhubung terus dengan pihak penjara,” katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen turut menyatakan perkara sama bahawa tertuduh telah disahkan layak untuk dibicarakan dan sebarang isu berkaitan ubat boleh dirujuk terus kepada pihak hospital.

Mahkamah seterusnya menetapkan 31 Oktober untuk sebutan semula kes manakala tarikh perbicaraan dikekalkan pada 3 hingga 5 Disember depan. Pendakwaan dijangka akan memanggil enam orang saksi.

Terdahulu, Izzat Amir memohon pindaan terhadap pertuduhan yang mana frasa menyakiti hati orang lain ditukar kepada mengganggu orang lain dan memohon agar pertuduhan pindaan itu dibacakan semula kepada tertuduh.

Persana mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, bekas peserta Dewi Remaja itu didakwa telah membuat dan memulakan hantaran video menerusi akaun TikTok miliknya pada 25 Februari lalu mengandungi sijil pernikahan palsu antara Tengku Mahkota Johor dan Crown Princess Ratu Shana yang bersifat palsu dan dibuat dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada pukul 10 pagi, 26 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan boleh didenda RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN