PUTRAJAYA: Perkampungan masyarakat India yang sebelum ini kurang diberi perhatian kini mula menerima sentuhan kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, selepas lebih 60 tahun tanpa sebarang peruntukan khas, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta pada tahun lalu untuk pembangunan perkampungan India di seluruh negara.
Menurut beliau, tambahan RM5 juta lagi telah diperuntukkan untuk pemasangan lampu solar sebagai usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan terlibat.
“Ini kali pertama KPKT diberi amanah menjaga perkampungan masyarakat India secara khusus. Ia bukti bahawa prinsip kerajaan Madani tidak meninggalkan sesiapa pun, tanpa mengira kaum atau agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Kementerian di Lobi Utama KPKT, di sini hari ini.
Nga turut menegaskan komitmen KPKT untuk menjaga kesejahteraan semua kaum termasuk masyarakat Melayu, Cina dan India secara adil dan saksama.
“Kita jaga kampung Melayu, kampung Cina dan kampung India. Dalam perbezaan, kita raikan kekitaan. Kita adalah keluarga Madani di bawah payung Jalur Gemilang,” ujarnya.
Pada Oktober tahun lalu, perkampungan India di seluruh negara kini berada di bawah tanggungjawab KPKT.
Kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta bagi pembinaan jalan, parit, longkang, dewan orang ramai, taman awam MADANI serta penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di perkampungan India.
Mengenai sambutan Deepavali, Kor Ming berkata, acara tahunan ini bukan sekadar perayaan, tetapi manifestasi jelas semangat perpaduan, keharmonian dan kepelbagaian budaya yang menjadi tunjang masyarakat Malaysia.
“Ia juga bertujuan memperkukuhkan hubungan antara kaum serta memupuk rasa saling menghormati dalam kalangan warga kerja KPKT,” ujarnya. – UTUSAN