KUALA LUMPUR: Pembangkang tidak memperincikan perancangan yang jelas apabila mahu memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun kepada rakyat memerlukan jika mengambil alih kerajaan.
Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club-BBC), Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, sebarang cadangan yang dikemukakan tidak boleh sekadar hangat-hangat tahi ayam berbanding usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani yang jelas hala tujunya.
“Kalau betul hendak naikkan kepada RM6,000, naikkanlah RM10,000, tetapi beritahu kami apakah langkah untuk mencapainya.
“Beritahu berapa banyak peluang pekerjaan. Sebut pertumbuhan berbilion, berapa billion? RM100, RM200, RM 10 bilion?
“Kita tidak boleh sekadar sebut dalam konteks mantik kerana ia tidak akan beri kesan positif kepada hala tuju negara,” katanya semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika membahaskan RUU berkenaan pada sebelah pagi, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau yakin kedudukan fiskal negara mampu memperkenal BPN sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah yang memerlukan.
Jelasnya, cadangan tersebut berbeza dengan bantuan bersyarat dan terhad seperti skim Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang mengekang pilihan rakyat.










