ROM: Itali akan mengerahkan kapal perang bagi mengiringi kapal dagangnya melalui Selat Bab al-Mandab bagi memastikan laluan perkapalan itu selamat, kata Menteri Pertahanan, Guido Crosetto.
Crosetto berkata, Rom tidak akan menunggu keputusan bersama Kesatuan Eropah (EU) untuk mengambil tindakan berhubung keselamatan laluan berkenaan.
“Kami mempunyai keupayaan untuk melindungi laluan itu,” katanya, sambil memberi amaran bahawa penutupan Selat Bab al-Mandab boleh memberi kesan serius terhadap ekonomi.
Menurut Crosetto, Itali tidak boleh membiarkan kelewatan birokrasi dalam proses membuat keputusan memburukkan keadaan yang sudah kompleks.
Selat Bab al-Mandab menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden, menjadi antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia yang menghubungkan Eropah dan Asia, selain laluan penting bagi pengangkutan minyak, gas dan kontena ke dan dari Terusan Suez.
Dianggarkan 12 hingga 15 peratus perdagangan global secara sejarahnya melalui laluan perairan sempit itu, yang memisahkan Yemen dengan Djibouti dan Eritrea di benua Afrika serta hanya berukuran kira-kira 30 kilometer pada bahagian paling sempit.
Kepentingan selat itu meningkat ketara sejak Iran menguasai Selat Hormuz awal tahun ini ketika perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, yang menyekat laluan eksport minyak paling penting dunia serta memaksa sebahagian besar eksport minyak mentah dari Teluk menggunakan laluan alternatif.
Arab Saudi khususnya semakin bergantung kepada saluran paip dan perkapalan melalui Laut Merah untuk mengelak Selat Hormuz, menjadikan Selat Bab al-Mandab antara laluan utama terakhir yang masih terbuka bagi penghantaran minyak dari Teluk ke pasaran global.
Penguasaan terhadap selat itu menjadi pertikaian sejak bertahun-tahun lalu apabila kerajaan Yemen, kumpulan pemberontak Houthi dan pada ketika tertentu pasukan lain di rantau itu menguasai beberapa kawasan pantai secara bergilir sejak perang Yemen tercetus pada 2015.
Kepentingan strategik selat itu semakin ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas kumpulan Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan pantas dan menguasai keseluruhan pantai barat Yemen di sepanjang Laut Merah, termasuk beberapa pulau yang mempunyai kedudukan strategik.
Kemaraan itu memberikan Houthi akses hampir tanpa sekatan ke laluan perairan berkenaan, perkembangan yang dilihat sebagai tamparan kepada sektor perkapalan antarabangsa berikutan rekod kumpulan itu menyerang kapal yang dikaitkan dengan AS atau sekutunya di rantau berkenaan.
AS dan Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini melancarkan operasi ketenteraan bagi meningkatkan perlindungan terhadap kapal dagang daripada serangan Houthi di kawasan itu.
Bagaimanapun, usaha berkenaan berdepan kesukaran untuk menjamin keselamatan laluan tersebut sepenuhnya ketika pertempuran di Yemen semakin meningkat.- AL JAZEERA











