IPOH: Terdapat 293 lokasi hotspot banjir di seluruh negeri Perak dan usaha sedang disusun oleh pelbagai agensi kerajaan untuk menghadapi musim tengkujuh.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemetaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menunjukkan terdapat 76 lokasi berisiko di Kuala Kangsar, Kinta serta Kerian masing-masing 59 manakala Larut Matang dan Selama sebanyak 57 lokasi.
Tambahnya, antara kawasan berisiko dikenal pasti ialah Ulu Chepor, Kledang Saiong, Air Terjun Bukit Jana, Gunung Semanggol, Tasek Bukit Merah dan Kuak Hill Resort, Lenggong.
Selain itu katanya, lebih 30 kawasan tanah tinggi dan rekreasi turut dikenal pasti berisiko berlaku kepala air atau tanah runtuh.
“Saya menyeru rakyat agar berwaspada dan peka terhadap amaran cuaca, khususnya di kawasan berhampiran sungai, tanah tinggi dan kawasan rekreasi air terjun,” katanya di sini hari ini.
Saarani berkata, kerajaan negeri mengambil perhatian serius terhadap dapatan itu dan menjadikannya asas tindakan mitigasi awal bersama JBPM, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Daerah serta agensi keselamatan lain.
Beliau hari ini bersama JBPM Perak melaksanakan pemantauan udara ke beberapa lokasi hotspot risiko di seluruh negeri bagi menilai kesiapsiagaan agensi dan mengenal pasti kawasan berpotensi tinggi berlakunya bencana.
Katanya, pemantauan itu melibatkan 15 lokasi utama di beberapa daerah termasuk Kinta, Larut Matang dan Selama, Manjung, Kerian, Lenggong, Changkat Jering dan Kampar.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti di kawasan berisiko tinggi ketika hujan lebat serta segera melaporkan tanda-tanda awal kejadian kepada pihak berkuasa,” katanya.
Kata beliau, kerajaan Negeri akan terus menambah baik pelan pengurusan bencana, termasuk pemetaan risiko, sistem amaran awal dan penyediaan logistik sokongan bagi membantu rakyat di kawasan berisiko. – UTUSAN