IPOH: Pemain Perak diingatkan supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan apabila bertemu Manjung FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 di Kompleks Bola Sepak Perak di Chepor di sini esok.
Penolong Pengurus Perak, Zainal Anuar memberikan peringatan itu supaya pemain tidak lupa diri apabila bertemu pasukan kelompok bawahan.
Menurutnya, seri 1-1 dengan Kelantan di tempat sendiri dalam perlawanan sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran buat pemain.
“Pemain jangan ambil mudah dengan kedudukan pasukan lawan yang berada di bawah. Kedudukan mereka di bawah bukan bermakna mereka tidak bagus tetapi kadang-kadang mereka tidak bernasib baik.
“Pemain perlu mengekalkan semangat juang yang tinggi dalam setiap perlawanan tanpa mengira kedudukan pasukan lawan,” katanya mengulas mengenai pertembungan derby pasukan dari negeri Perak itu.
Zainal berkata, Perak tidak boleh memandang ringan mana-mana pasukan jika ingin mengekalkan momentum serta kedudukan dalam kelompok atas liga.
Katanya, walaupun Manjung FC belum pernah menang tetapi permainan mereka semakin meningkat khususnya apabila seri dengan Perlis baru-baru ini
“Walaupun satu ketika mereka ketinggalan tetapi berjaya bangkit untuk mengutip satu mata berharga.
“Ini petanda Manjung FC punyai kekuatan dan sehubungan itu Perak tidak boleh memandang mudah perlawanan esok.
“Perak perlu berusaha memastikan tiga mata penuh esok kerana beraksi di gelanggang sendiri,” katanya. – UTUSAN