PASIR PUTEH: Penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan sebuah bot fiber mengandungi 550,000 batang rokok seludup selepas kegiatan haram itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di perairan Kuala Kemasin, Bachok dekat sini, kelmarin.
Bot yang membawa rokok bernilai RM400,000 itu ditahan pada pukul 3 pagi hasil rondaan rutin menerusi Op Naga, Op Damai dan Op Tiris.
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, semasa melakukan rondaan, anggota bertugas mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan memasuki kawasan muara.
“Dalam keadaan gelap-gelita itu, anggota bertugas mengesan sebuah bot. Pemeriksaan di lokasi mendapati suspek melarikan diri dan kita tidak menolak kemungkinan mereka menggunakan khidmat tonto mengesan pergerakan pihak berkuasa.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot itu membawa kepada penemuan 550,000 batang rokok putih,” katanya di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, di Tok Bali, di sini hari ini.. – UTUSAN










