KUALA LUMPUR: Penyanyi, Haikal Farid menegaskan dia tidak lagi mahu menyerahkan bulat-bulat urusan penghasilan lagu kepada komposer, sebaliknya meletakkan syarat untuk terlibat sekali mencorakkan sendiri melodi mahupun lirik untuk lagu bergenre balada selepas ini.
Haikal atau Muhammad Haikal Farid Rizal, 27, berkata, tindakan itu diambil selepas mengambil iktibar daripada lagu-lagu bergenre baladanya sebelum ini yang disifatkan kurang mendapat sambutan.
Menurut Haikal, dia mengakui kesilapan lalu yang terlalu mengikut telunjuk dan menyerahkan sepenuhnya keputusan penghasilan karya kepada komposer tanpa ada penglibatan dirinya sendiri.
“Saya mengakui sebelum ini terlalu mengikut sahaja arahan orang lain dan bersetuju dengan apa sahaja lagu yang diberikan untuk dinyanyikan. Selepas ini, jika ada komposer yang mahu bekerjasama, saya mahu memastikan ada penglibatan sendiri dalam karya tersebut.
“Pihak komposer boleh memberikan demo terlebih dahulu dan saya mahu meneliti serta mengubah suai bahagian-bahagian tertentu yang dirasakan perlu. Saya mahukan penglibatan sedemikian rupa kerana selama ini saya belum pernah melancarkan lagu ciptaan sendiri,” katanya.
Haikal berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Majlis Pelancaran Single dan Muzik Video Rasmi Aku Klasik di Redbox Plus, The Exchange TRX, pada Rabu.
Dalam pada itu, Haikal mendedahkan terdapat kisah lama yang menyebabkan dia berasa berat hati dan belum bersedia untuk mempertaruhkan lagu hasil ciptaannya sendiri kepada umum.
Disebabkan kekangan itu, Haikal buat masa ini lebih selesa untuk terus menyanyikan karya daripada komposer luar yang datang menawarkan lagu kepadanya.
“Ada kisah lama yang menjadi sebab kenapa saya merasakan diri ini belum boleh atau tidak mampu untuk melancarkan lagu hasil ciptaan sendiri buat masa sekarang. Oleh itu, saya lebih banyak mengambil dan menyanyikan lagu-lagu daripada komposer luar yang datang mendekati saya.
“Namun untuk rancangan lagu balada yang seterusnya, saya akan memastikan bahawa saya akan terlibat sama dalam proses pembikinannya. Saya mahu memberikan sentuhan tersendiri daripada segi lirik dan juga melodi untuk lagu tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, lagu Aku Klasik (Eh Ah) merupakan solo yang ketujuh bagi Haikal dan lagu ini telah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital pada 8 Mei 2025, bersama muzik video rasmi di Youtube NSR Malay.
Untuk rekod, Muhammad Haikal Farid mula mencipta nama dalam industri muzik tempatan selain aktif juga sebagai eksekutif jualan.
HABIS//










