Kenyataan Perdana Menteri mengenai Pelan Induk JS-SEZ kurang tepat - Onn Hafiz - Utusan Malaysia

Kenyataan Perdana Menteri mengenai Pelan Induk JS-SEZ kurang tepat – Onn Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai kurang tepat dan dibimbangi akan mengelirukan rakyat serta pelabur.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor berkata, sebarang kenyataan termasuklah daripada kepimpinan tertinggi negara perlu dibuat berdasarkan fakta yang tepat.

“Saya sedar saya bukan bertaraf Perdana Menteri. Namun dengan penuh hormat saya berpandangan, apabila seseorang berada di kedudukan sebagai pemimpin nombor satu negara, setiap kenyataan yang dibuat mesti berasaskan fakta yang tepat.

“Agak tidak sesuai apabila seorang Perdana Menteri memberikan gambaran yang tidak tepat berhubung dokumen Pelan Induk JS-SEZ. Hakikatnya Pelan Induk JS-SEZ ini adalah dokumen Kerajaan Malaysia. Ia tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya proses libat urus serta maklum balas daripada pihak Singapura, dan proses itu telah pun selesai.

“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Susulan itu, Onn Hafiz memberitahu kenyataan Perdana Menteri yang seolah-olah pelan induk berkenaan perlu menunggu persetujuan pada sesi ‘Leaders’ Retreat’ serta memerlukan tandatangan Perdana Menteri kedua-dua negara adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

“Perkara ini dibangkitkan bukan bertujuan untuk mencela atau menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya ia tanggungjawab kerajaan Negeri untuk pastikan setiap inisiatif strategik yang membawa manfaat kepada Johor dilaksana mengikut jadual dan dipercepat, selain terus memberikan kepastian dan keyakinan kepada para pelabur.

“Ramai pelabur yang bertanya dan menantikan pelancaran pelan induk ini. Ia akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di JS-SEZ di mana limpahan manfaatnya juga akan dirasai oleh Kerajaan Pusat untuk kebaikan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, mungkin pihaknya dianggap kurang arif dalam soal tersebut namun apa yang lebih membimbangkan adalah sekiranya Perdana Menteri sesebuah negara dilihat tidak teliti dan cerdik dengan membuat kenyataan tidak tepat.

“Ia memberi kesan bukan sahaja pada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor tetapi juga buat pelabur yang telah dan berpotensi melabur di JS-SEZ ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN