Peningkatan kes influenza: KKM, KPM bincang tindakan lanjut - Utusan Malaysia

Peningkatan kes influenza: KKM, KPM bincang tindakan lanjut

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbincangan bersama di antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan diadakan sekiranya perlu  bagi menilai keperluan lanjut termasuk kemungkinan penutupan sementara sekolah susulan lonjakan kes influenza.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan berkaitan penutupan institusi pendidikan terletak di bawah KPM namun kementeriannya akan terus memberi panduan kesihatan awam serta pemantauan rapi terhadap situasi semasa.

“Hal penutupan semua itu adalah KPM. Kami sentiasa memberikan bimbingan kalau yang bergejala, jangan datang ke sekolah. Untuk melindungi diri, pakailah pelitup muka, amalkan semula prosedur operasi standard (SOP) seperti mencuci tangan.

“Andainya kalau perlu, saya akan berbincang dengan Menteri KPM untuk menentukan sama ada tindakan-tindakan selanjutnya diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut mengesahkan peningkatan ketara kes influenza-like illness (ILI) di seluruh negara, dengan jumlah kluster melonjak kepada 97 kluster pada Minggu Epidemiologi ke-40 (ME40/2025), berbanding hanya 14 kluster pada minggu sebelumnya.

Katanya, majoriti kluster influenza yang dilaporkan berlaku di institusi pendidikan seperti sekolah dan tadika susulan peningkatan kadar penularan penyakit berjangkit itu.

“Kadar konsultasi ILI meningkat kepada 7.38 peratus pada ME40 berbanding 5.95 peratus pada ME39 manakala kadar kemasukan kes jangkitan saluran pernafasan akut teruk (SARI) menurun sedikit kepada 9.08 peratus berbanding 9.59 peratus minggu sebelumnya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 116 wabak dilaporkan secara keseluruhan bagi minggu berkenaan menunjukkan peningkatan dalam aktiviti penularan influenza di komuniti.

Berdasarkan survelan makmal, kadar positiviti influenza meningkat kepada 20.1 peratus (ME39) berbanding 15.64 peratus (ME38) manakala kadar positiviti SARS-CoV-2 kekal rendah pada 0.98 peratus berbanding 0.91 peratus minggu sebelumnya.

“Strain utama yang dikesan ialah Influenza A (H3) bermusim sebanyak 17.5 peratus, diikuti A(H1N1) sebanyak 1.4 peratus, Influenza B 1.2 peratus dan SARS-CoV-2 1.0 peratus. Tiada mutasi baharu dikesan setakat ini,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN