KOTA TINGGI: Dasar intervensi Barisan Nasional (BN) dilihat memberi kelebihan dan potensi kepada rakyat kerana memiliki dasar intervensi yang jelas bagi memastikan pembangunan negeri Johor tidak bergantung sepenuhnya kepada mekanisme pasaran.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan dapat dinikmati semua lapisan rakyat termasuk dalam aspek perumahan, pembangunan bandar dan peluang ekonomi tanpa menyebabkan mana-mana golongan tercicir.
“Kita mesti ada dasar intervensi. Parti kita UMNO dan BN, memang mempunyai dasar intervensi. Kalau semuanya diserahkan kepada pasaran akan ada golongan yang terpinggir.
“Bagaimana kita mahu memastikan rumah mampu milik diwujudkan? Mahu memastikan orang Melayu terus kekal tinggal di bandar dan turut menikmati segala kemajuan? Semua itu memerlukan dasar tepat bukan bergantung kepada pasaran semata-mata,” katanya ketika ditemui selepas bertemu penduduk di Sedili Besar di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, pengalaman mentadbir juga menjadi kelebihan utama BN kerana pelaksanaan sesuatu dasar memerlukan pengalaman serta keupayaan mengurus negeri secara berkesan.
“Manifesto itu penting tetapi persoalannya siapa yang mampu melaksanakannya kerana mengurus negeri bukan perkara mudah kerana ia mempunyai cabaran dan kompleksitinya tersendiri.
“Sebab itu saya katakan mesti ada pengalaman. Tidak boleh hari pertama mentadbir terus terkapai-kapai tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju pembangunan jelas memandangkan negeri itu berada dalam kedudukan strategik bersebelahan Singapura.
Katanya, jika potensi Johor tidak dimanfaatkan sepenuhnya, ia bukan sahaja menjejaskan pembangunan negeri, malah turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Johor mesti terus maju kerana kedudukannya sangat unik.
“Kalau kita biarkan jurang pembangunan dengan Singapura menjadi terlalu besar, Johor hanya akan menjadi ‘backyard’ kepada Singapura.
“Kalau Johor mempunyai potensi besar ini tidak dimajukan, ia juga akan merencatkan kemajuan Malaysia,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kekuatan BN turut disokong rangkaian akar umbi UMNO yang terus memberi khidmat kepada masyarakat walaupun ketika parti itu tidak berada dalam kerajaan.
Katanya, kewujudan cawangan UMNO di seluruh negara juga membolehkan masalah rakyat disalurkan terus kepada wakil rakyat dan kerajaan bagi memastikan bantuan serta penyelesaian dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
“UMNO tidak pernah berhenti memberi khidmat walaupun pernah kalah sebab itu kita mempunyai sistem sokongan sehingga ke peringkat kampung.
“Orang kampung tahu ke mana hendak mengadu apabila berdepan masalah membabitkan sekolah, masjid, kebajikan atau bantuan. Itu kekuatan BN yang tidak boleh dinafikan,” katanya. – UTUSAN










