PETALING JAYA: Usaha memperkukuh budaya membaca, literasi maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat di Negeri Sembilan diperkasa melalui kerjasama strategik antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS).
Kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Perpustakaan USIM di sini, semalam.
MoU tersebut ditandatangani Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani dan Pengarah PPANS, Hamdan Haji Nordin.
Kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program galakan membaca, pembangunan ilmu, literasi maklumat dan aktiviti pembelajaran sepanjang hayat bersama komuniti.
Selain itu, USIM dan PPANS turut merancang menganjurkan program outreach, seminar, forum, bengkel, latihan serta aktiviti ilmiah yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Kerjasama tersebut turut merangkumi perkongsian kepakaran, sumber maklumat, pembangunan profesional dan penyelidikan dalam bidang perpustakaan serta pengurusan ilmu.
Tumpuan juga diberikan kepada pendigitalan koleksi, pemeliharaan warisan ilmu, penerbitan bersama dan pelaksanaan program yang lebih inklusif serta mampan.
Sharifudin berkata, kerjasama strategik itu selari dengan aspirasi USIM sebagai universiti yang mengintegrasikan ilmu wahyu dan ilmu akal demi kesejahteraan ummah.
“Kerjasama ini saya harapkan akan memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, inovasi dan pembangunan komuniti.
“Perpustakaan pada hari ini bukan lagi sekadar tempat menyimpan koleksi, bahkan menjadi hab pembelajaran sepanjang hayat, pemerkasaan digital, literasi maklumat dan pembinaan masyarakat berpengetahuan,” katanya.
MoU antara USIM dan PPANS itu diharap menjadi pemangkin kepada usaha memperluas akses ilmu, meningkatkan literasi maklumat dan memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN










