NILAI: Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa (AKSIS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2024/2025 dijadikan platform untuk mengetengahkan mahasiswa cemerlang ke peringkat kebangsaan.
Ahli Lembaga Pengarah USIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata, kecemerlangan mahasiswa tidak boleh terhenti kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kepimpinan, aktivisme sosial dan sumbangan nyata kepada masyarakat.
Katanya, mahasiswa USIM yang diasuh melalui integrasi ilmu naqli dan aqli perlu memainkan peranan lebih besar melangkaui menara gading.
“Anda dituntut untuk menterjemahkan kecemerlangan ini dalam bentuk sumbangan nyata kepada komuniti dan negara, menjadi ejen pembawa rahmah serta menyelesaikan isu masyarakat dengan acuan nilai Islam yang syumul,” katanya ketika merasmikan AKSIS USIM 2024/2025 di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), di sini.
Majlis itu diadakan bagi mengiktiraf pencapaian mahasiswa USIM dalam pelbagai bidang termasuk akademik, kepimpinan, kemahiran insaniah, aktivisme sosial dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Hasan berkata, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian individu, tetapi sejauh mana kejayaan itu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Ts. Dr. Sharifuddin Md. Shaarani berkata, AKSIS tahun ini mempertandingkan 13 kategori anugerah dengan kriteria pemilihan dijajarkan mengikut piawaian Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Katanya, penjajaran itu membolehkan penerima anugerah AKSIS dicalonkan untuk mewakili USIM ke peringkat kebangsaan, selain membuktikan kualiti program pembangunan sahsiah mahasiswa semakin meningkat.
Beliau berkata, sebanyak 56 pencalonan diterima daripada fakulti, pusat tanggungjawab dan badan pelajar, sekali gus menunjukkan AKSIS menjadi medan penting untuk menilai kepimpinan, kesukarelawanan, inovasi dan sumbangan mahasiswa.
Antara penerima anugerah ialah Haikal Nazhan Hamdan yang dinobatkan sebagai Tokoh AKSIS serta penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa, manakala Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini menerima Anugerah Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa dan Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa dan Nur Irdina Syahirah Shamzulnizam menerima Anugerah Tokoh Komuniti Siswa. – UTUSAN










