Pengurusan Masjid Rusila dakwa Maritim Malaysia tidak profesional tangani isu ‘latihan komando’

Pengurusan Masjid Rusila dakwa Maritim Malaysia tidak profesional tangani isu ‘latihan komando’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pengurusan Masjid Rusila di sini menyifatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak profesional dalam menangani isu berhubung aktiviti yang diadakan agensi itu di masjid berkenaan pada 19 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasanya, Mohd. Azri Abdul Aziz berkata, pihaknya telah meneliti kenyataan Maritim Malaysia berhubung isu itu semalam yang antara lain menyatakan latihan dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas.

Katanya, pengurusan Masjid Rusila  tidak pernah menerima sebarang permohonan atau permakluman untuk sebarang aktiviti seumpama itu sama ada secara lisan atau bertulis.

“Pihak masjid juga telah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapat pengesahan daripada mereka sekiranya ada apa-apa aktiviti dari mana-mana agensi yang berkaitan. 

“Jawapan yang kami terima tiada apa-apa aktiviti  yang dijalankan pada masa dan tarikh tersebut di bawah permakluman mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, kata Mohd. Azri, pihaknya membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut sebelum menerima permakluman lisan dan permohonan maaf melalui telefon daripada Maritim Malaysia.

“Pihak masjid sangat kecewa dengan  sikap dan tindakan tidak  profesional  yang ditunjukkan Maritim Malaysia dalam menangani isu ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Dewan Rakyat mendakwa Maritim Malaysia mengadakan latihan di Masjid Rusila dan menyamakannya dengan serangan dalam tragedi Memali 1985.

Takiyuddin berkata, sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran dengan memakai kasut, memasuki ruang solat wanita dan melakukan penggeledahan, dengan mendakwa mereka adalah polis.

Sebagai maklum balas berhubung dakwaan itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam satu kenyataan semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pasukan elit agensi itu terbabit latihan di Masjid Rusila.

Katanya,  pelatih pasukan berkenaan hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid itu dan rumah tersebut hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.

Menurut beliau, pihak masjid sudah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN