Pengecualian cukai lonjak sektor pelancongan negara - Utusan Malaysia

Pengecualian cukai lonjak sektor pelancongan negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengecualian cukai yang diterima syarikat pengendali pelancongan mencerminkan komitmen kerajaan melonjakkan sektor pelancongan selain memberi galakan kepada penggiat sektor tersebut menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, insentif itu bakal dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya pemain industri berjaya menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia tahun depan.

“Sebenarnya, insentif sebegini bukanlah perkara baharu. Sebelum pandemik Covid-19, ia sudah pun dilaksanakan, namun dihentikan selepas pandemik.

“Kini, kerajaan memperkenalkannya semula menerusi Belanjawan 2026 adalah langkah yang amat baik khususnya buat pengusaha dan operator pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut bercadang memperkenalkan empat insentif cukai kepada pemain industri pelancongan dan kebudayaan sebagai langkah merancakkan sektor tersebut melalui Belanjawan 2026.

Empat bentuk insentif utama itu adalah pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan bakal diberi potongan cukai ke atas perbelanjaan layak yang dilakukan, terhad sehingga RM500,000.

Kedua, syarikat pengendali pelancongan bakal menikmati pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100 peratus daripada nilai peningkatan pendapatan hasil pakej pelancongan ke Malaysia.

Ketiga, syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau program insentif bertaraf antarabangsa akan diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun.

Terakhir, syarikat yang menganjurkan aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan penyertaan peserta asing turut ditawarkan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun.

Beliau berkata, peruntukan bagi tujuan promosi turut menunjukkan peningkatan dalam Belanjawan 2026 merangkumi peruntukan bagi seni, budaya dan warisan, termasuk bagi kerja naik taraf fasiliti pelancongan, terutama bangunan warisan dan tapak UNESCO.

“Langkah ini sejajar dengan usaha global menjadikan sektor pelancongan lebih mampan dan mesra alam, selaras dengan tumpuan kerajaan terhadap kelestarian yang turut merangkumi pelancongan lestari.

“Kami turut menyambut baik cadangan kerajaan memperkenalkan galakan berbentuk geran, walaupun mekanismenya belum diumumkan.

“Kami berharap geran tersebut dapat disalurkan kepada pemain industri seperti hotel, tarikan pelancongan dan ejen pelancongan bagi menyokong aktiviti misi jualan ke luar negara,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesan jangka panjang juga perlu diberi perhatian, terutama dalam aspek penyelenggaraan fasiliti dan kesinambungan promosi selepas tahun belanjawan berkenaan.

Nigel berkata, tumpuan sektor ketika ini bukan hanya pada pelancongan mewah, tetapi turut meliputi pelancongan perniagaan dan acara.

“Industri kini sedang beralih arah, bukan sekadar kepada pelancong santai, tetapi juga pelancong yang datang bagi tujuan persidangan, pameran perdagangan, aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×