SEREMBAN: Seorang pengawal keselamatan sekolah serta teman lelakinya dituduh didakwa Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mencabul seorang murid perempuan di sebuah sekolah di Rembau, pada minggu lalu.
Tertuduh, Muahmad Mohd. Mohtar, 25, dan Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N Kanageswari.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan menyentuh kemaluan kanak-kanak itu untuk tujuan seksual.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9.30 pagi hingga 10.30 pagi di dalam tandas perempuan sebuah sekolah di daerah Rembau pada 7 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM30,000 untuk kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin dan juga syarat tambahan untuk melaporkan diri setiap bulan sehingga kes selesai.
“Selain itu, tertuduh juga tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada,” katanya.
Hakim kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang ditawarkan pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan semula pada 17 November ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Khamis lalu, media melaporkan dua individu dipercayai pasangan kekasih ditangkap polis bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual ke atas murid di tandas sebuah sekolah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain berkata, tangkapan dibuat beberapa jam selepas laporan polis dibuat ibu mangsa di Balai Polis Chembong.
Ia selepas mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun menceritakan kejadian pagi 7 Oktober lalu yang berlaku di tandas sekolah. – UTUSAN










