PETALING JAYA: Beberapa pemimpin negara mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel yang menahan aktivis Global Sumud Flotilla dan menghalang misi tidak bersenjata bersama bekalan bantuan untuk rakyat Gaza.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam satu kenyataan memberi amaran keras akan mengadakan protes besar-besaran semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Kuala Lumpur jika aktivis berkenaan tidak dibebaskan.
Malah, mereka turut mendesak kerajaan supaya membatalkan sebarang jemputan rasmi kepada Trump sebagai tanda bantahan.
“Jika semua aktivis Sumud Flotilla terutama rakyat Malaysia tidak dibebaskan. Kami mendesak pada pihak kerajaan agar membatalkan jemputan Trump ke Malaysia atau kami pemuda UMNO seluruh negara akan turun bantah dihadapan Trump secara besar-besaran semasa lawatan Trump ke Kuala Lumpur.
“Biar kita berdepan dengan Trump secara terus. Sakiti mereka,sama dengan sakiti kami semua rakyat Malaysia. Bebaskan aktivis global sumud flotilla,” katanya dalam media sosial Facebook, pagi ini.
Flotila Global Sumud yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dilaporkan disekat sebelum tiba ke destinasi, menyebabkan beberapa aktivis antarabangsa termasuk rakyat Malaysia ditahan.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad turut mengecam tindakan Israel dengan berkata, tindakan di luar batas kemanusiaan sejagat ini bukan sahaja menafikan hak rakyat Palestin yang sedang menderita di bawah sekatan, malah menghina suara keprihatinan dunia.
“Wanita UMNO Malaysia kekal berdiri teguh bersama Kerajaan Malaysia dalam menuntut Israel untuk dipertanggungjawabkan di atas pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi ini. Keselamatan sukarelawan, khususnya warganegara Malaysia, mesti dijamin dan tidak boleh dikompromi.
“Selagi rakyat Palestin terus dinafikan hak asasi dan kebebasan mereka, Wanita UMNO akan kekal beristiqamah menyokong perjuangan rakyat Palestin, menuntut keadilan dan mengangkat solidariti kemanusiaan,” katanya.
Penegasan yang sama turut dibuat Ketua DAPSY, Woo Kah Leong dengan berkata, tindakan tentera Israel yang menahan aktivis-aktivis tersebut yang menyalurkan bantuan kemanusiaan ke kawasan Gaza adalah keji dan tidak berperikemanusiaan.
“DAPSY Kebangsaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim tentera Israel dan menuntut semua aktivis khususnya semua warganegara Malaysia dibebaskan segera tanpa sebarang syarat.
“Seluruh dunia dan semua pihak harus membidas Israel yang merupakan ancaman kepada ketenteraman sedunia. Shame on you (malu dengan kamu) Israel,” katanya.-UTUSAN










