PASIR PUTEH : Perjalanan pulang seorang juruwang sebuah stesen minyak dari tempat kerjanya berakhir tragedi apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor lembu melintas jalan di Kilometer 4.5 Jalan Pasir Puteh – Telosan dekat Kampung Jeram di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah malam itu, mangsa yang merupakan pemuda berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian muka.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Bandar Pasir Puteh menghala ke Telosan.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, seekor lembu yang berkeliaran dipercayai melintas jalan di laluan digunakan mangsa.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum motosikal tersebut merempuh lembu tersebut,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN









