Malaysia bakal ambil tindakan undang-undang terhadap Norway

Malaysia bakal ambil tindakan undang-undang terhadap Norway

AHMAD Zahid Hamidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Kerajaan akan mengambil tindakan perundangan terhadap Norway sekiranya terbukti berlaku pelanggaran kontrak dan kegagalan memenuhi terma perjanjian dalam melibatkan pembelian peluru berpandu anti kapal (NSM) sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu perlu bagi mempertahankan kedaulatan dan maruah negara serta menunjukkan pendirian tegas Malaysia melibatkan pembatalan lesen eksport dari negara berkenaan.

Katanya, Kementerian Luar dalam masa yang sama perlu memainkan peranan proaktif dalam menangani implikasi diplomatik yang timbul termasuk menyampaikan nota bantahan terhadap negara berkenaan.

“Kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Norway yang telah membatalkan pembekalan peralatan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sedangkan pembekalan tersebut merupakan komponen penting yang sepatutnya dilengkapkan pada kapal perang TLDM mengikut kontrak yang telah dipersetujui.

“Justeru, bukan hanya melibatkan sudut perundangan semata-mata sebaliknya Kementerian Luar Negeri perlu mengambil langkah diplomatik yang lebih tegas dengan mengemukakan nota bantahan.

“Kerajaan wajar merangka tindakan diplomatik jangka panjang bagi memastikan kepentingan Malaysia dipertahankan serta mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Ramah mesra Bersama Komuniti Endau di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal pertahanan melaporkan, Norway membuat keputusan secara unilateral untuk menyekat penghantaran peluru berpandu NSM yang dibangunkan KDA, sekali gus menamatkan kontrak berkenaan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Malaysia.

Difahamkan, keputusan untuk menghentikan penghantaran peluru berpandu NSM itu telah dimaklumkan kepada Mohamed Khaled dalam satu pertemuan bersama pegawai kerajaan Norway pada 20 April, iaitu hari pertama Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2026.

Ia dalah sebahagian daripada kontrak perolehan yang dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018, bernilai 124 juta euro bertujuan melengkapi enam kapal LCS baharu.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk menghentikan pembelian sebarang bekalan atau barangan dari Norway sebagai tindak balas terhadap tindakan syarikat negara itu yang menghentikan pembekalan peluru berpandu kepada TLDM.

“Syarikat berkenaan bukan sahaja perlu bertanggungjawab membayar pampasan atas kerugian yang ditanggung, malah semua implikasi akibat kelewatan pembekalan, dan kos tambahan yang ditanggung kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN