PETALING JAYA: Pelakon, Irfan Zaini mengakui berasa janggal melakonkan babak romantis bersama Zara Zya, khususnya adegan mencabut pin tudung yang tular menerusi drama Luka Di Hujung Setia.
Menurut Irfan, 31, sebagai individu yang dibesarkan dalam keluarga dengan ibu dan adik-beradik perempuan berhijab, dia pada mulanya berasa serba salah untuk menjayakan babak berkenaan. Namun, atas dasar profesionalisme, dia bersetuju melakukannya selepas berbincang dengan semua pihak terlibat.
“Kalau saya fikir sebagai Irfan, memang rasa janggal. Agak sukar juga sebab ibu dan adik-beradik perempuan saya semuanya berhijab.
“Saya memang rasa bersalah kerana perkara itu agak sensitif. Tetapi apabila fikir dari sudut watak, babak itu mampu menarik perhatian penonton terhadap episod tersebut, saya sanggup lakukannya.
“Pengarah dan pelakon gandingan saya juga bersetuju. Kalau pelakon gandingan tidak selesa, sudah tentu kita tidak boleh teruskan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Astro Fandom, baru-baru ini.
Tambah Irfan, setiap babak yang dianggap sensitif akan dibincangkan terlebih dahulu bagi memastikan semua pihak berasa selesa sebelum penggambaran dijalankan.
“Apabila melakonkan babak seperti itu, memang saya beristighfar juga walaupun sekadar lakonan. Namun, akhirnya babak itu tetap diteruskan.
“Sejak awal lagi kami sudah berbincang. Bukan untuk drama ini sahaja, malah saya memang akan berbincang dengan pelakon gandingan terlebih dahulu.
“Kalau pelakon itu sudah berkahwin, saya fikir lebih baik dia mendapatkan persetujuan suaminya. Itu cara terbaik untuk menghormati semua pihak.
“Ini hanyalah lakonan yang membawa pengajaran. Jangan jadi seperti watak Faris,” katanya.
Menurut Irfan, dia pada awalnya keberatan untuk melakonkan babak berkenaan sehingga mengadakan perbincangan selama kira-kira sejam bersama pengarah, penerbit dan Zara Zya sebelum mencapai kata sepakat.
“Babak itu bukan idea saya. Saya beritahu pengarah, saya sanggup membuka butang baju sendiri tetapi tidak sanggup membuka tudung.
“Kami berbincang hampir sejam bersama penerbit, pengarah dan Zara. Pengarah kemudian mencadangkan supaya saya hanya mencabut pin tudung sebelum loceng pintu berbunyi dan watak lakonan Datuk Adi Putra masuk ke dalam bilik.
“Saya bersetuju dengan cadangan itu. Sebab itulah saya turut memuat naik rakaman di sebalik tabir. Apabila hasilnya disiarkan, ramai penonton faham dan menyukai babak tersebut,” katanya.
Terdahulu, tular klip video memaparkan watak lakonan Irfan Zaini dan Zara Zya yang kantoi berdua-duaan di dalam sebuah bilik.
Dalam drama tersebut, Irfan memegang watak Faris, seorang penyondol yang berjaya mengundang kebencian penonton menerusi lakonannya.
Selain Irfan dan Zara Zya, Luka Di Hujung Setia turut dibintangi Datuk Adi Putra dan Cahaya Nilam.









