Pempengaruh Vietnam, Cindy ungguli All Star Influencers Award (ASIA) 2025 - Utusan Malaysia

Pempengaruh Vietnam, Cindy ungguli All Star Influencers Award (ASIA) 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti dan pempengaruh Vietnam, Cindy atau Huỳnh Thị Diễm Mi, 24, mengungguli anugerah utama All Star Influencer Award (ASIA) 2025 menewaskan lebih 80 pempengaruh dari 20 negara.

Kemenangan berprestij itu melayakkan Cindy membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM63,690, trofi eksklusif, dan pakej percutian mewah ke Dubai.

Tempat kedua pula dirangkul pempengaruh dari Indonesia, Sheren Natalia yang membawa pulang trofi, wang tunai RM21,130 dan percutian ke Dubai manakala pempengaruh Cambodia, Rainnie Dara membawa pulang trofi tempat ketiga, wang tunai RM12,678 dan percutian ke Dubai.

Cindy yang turut membawa pulang trofi Pencerita Terbaik berkata, dia sama sekali tidak menjangkakan kemenangan tersebut kerana persaingan hebat daripada pempengaruh lain yang juga memberi komitmen yang tinggi terhadap program itu.

“Saya tidak menjangka kemenangan ini, terima kasih kepada semua pihak yang sudah memilih saya. Wang kemenangan ini saya akan manfaatkan untuk kegunaan keluarga terlebih dahulu,” ujarnya ketika ditemui di Sunway Resort Hotel, di sini.

Penganjur, Datuk Abd. Rahman Soltan, berkata, ASIA2025 adalah platform yang menggabungkan dunia digital dan pelancongan secara unik, sekaligus membuka peluang kepada bakat pempengaruh dari seluruh Asia dan Timur Tengah untuk bersinar dan memperkenalkan keunikan Malaysia kepada khalayak global.

“Lebih 1.3 bilion capaian digital tontonan membuktikan bahawa gabungan kreativiti digital dan promosi pelancongan mampu mencipta impak besar dalam memperluaskan jangkauan serta meningkatkan kesedaran terhadap destinasi dan budaya kita.

“Ini menunjukkan bahawa dengan gabungan kreativiti, teknologi dan sokongan bersepadu, kita boleh membawa Malaysia ke persada dunia digital dengan lebih berkesan. Kami percaya bahawa pengaruh digital kini memainkan peranan penting dalam membentuk imej negara dan membuka peluang baharu dalam industri pelancongan.

“Kami mahu ASIA2025 menjadi ruang bagi pencipta kandungan untuk mengasah bakat, berkongsi inspirasi dan bersama-sama memajukan industri digital dan pelancongan di rantau ini,” ujarnya.

Sepanjang beberapa bulan lalu, lebih 80 pempengaruh dari 20 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Vietnam, India, Pakistan, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Mesir, Jordan, dan beberapa lagi telah menjelajah ke pelbagai destinasi pelancongan utama di Malaysia seperti Melaka, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Sabah.

Melalui aktiviti penciptaan kandungan yang kreatif dan pelbagai cabaran digital, mereka berjaya membawa lebih 1.3 bilion capaian digital tontonan di pelbagai platform media sosial, mengatasi rekod tahun lalu sebanyak 518 juta tontonan.

ASIA2025 juga merupakan sebahagian daripada inisiatif mempromosikan Malaysia secara digital selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijalankan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia.

Program berskala besar ini mendapat sokongan penuh dan kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk mengangkat industri pelancongan digital negara ke pentas antarabangsa.

Penaja utama, Tune Talk, memberikan sokongan penuh dari segi komunikasi dan teknologi bagi memudahkan penyebaran dan capaian digital program ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda berkata, ASIA2025 bukan sekadar meraikan pengaruh digital tetapi platform pengiktirafan terhadap semangat, kreativiti dan kuasa hubungan sesama manusia.

“Sebagai Rakan Telekomunikasi Rasmi, Tune Talk berbangga berdiri bersama para pencipta kandungan yang terus menginspirasi dan menghubungkan komuniti di seluruh Asia, sambil mencerminkan semangat yang kami junjung: memastikan semua terus terhubung dan memberi kuasa kepada suara autentik untuk didengari,” ujarnya.

Sebagai rekod, tahun lalu tanda pagar #AllStarInfluencerAward2024 mencatat lebih 518 juta capaian digital dan tular di pelbagai platform media sosial. Pemenang utama tahun lalu, Saal Haerid dari Indonesia, membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000, trofi eksklusif dan pakej percutian mewah ke Dubai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN